CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9256|Reply: 0

[Sabah] Perlembagaan jelas, Sabah tuntut penghormatan hak minyak dan gas

[Copy link]
Post time 28-1-2026 12:08 PM | Show all posts |Read mode


YONG

KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan minyak dan gas tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan undang-undang yang muktamad.

Peguam Yong Yit Jee berkata, MA63 bukan dokumen berbentuk senarai semak sumber, sebaliknya perjanjian asas pembentukan Malaysia yang mengekalkan struktur persekutuan dengan bidang kuasa jelas antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, dalam kerangka perlembagaan, tanah dan sumber asli kekal sebagai perkara negeri, tertakluk hanya kepada kuasa persekutuan yang dinyatakan secara jelas.

“Perlombongan dan mineral secara prinsip berada di bawah bidang kuasa negeri dan kedudukan itu tidak boleh diganti melalui implikasi, kemudahan pentadbiran atau kenyataan politik.

“Untuk mengatakan ketiadaan peruntukan khusus dalam MA63 bermaksud penyerahan kekal hak sumber Sabah bukan tafsiran perlembagaan, sebaliknya satu bentuk penyederhanaan yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, terdapat asas perundangan kukuh untuk mempersoalkan sama ada undang-undang persekutuan kemudian, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, benar-benar mengubah keseimbangan persekutuan asal seperti terpakai kepada Sabah.

“Jika kedudukan undang-undang itu benar-benar tidak dipertikaikan, Parlimen tidak perlu meluluskan akta biasa untuk mewujudkan pemilikan, manakala Petronas juga tidak perlu mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung rangka kerja perundangan di negeri Borneo.

“Perkara ini bukan sekadar perbahasan akademik, sebaliknya persoalan perlembagaan yang kini dibicarakan di mahkamah.

“Sehubungan itu, saya berpandangan tidak wajar bagi mana-mana menteri, khususnya yang bertanggungjawab terhadap undang-undang dan reformasi institusi, menggunakan jawatan politik sebagai autoriti untuk menutup perbahasan perlembagaan berkaitan hak negeri Borneo.

“Mahkamah, bukan jawatan politik, adalah penentu terakhir makna perlembagaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata Sabah masih berdepan persoalan perlembagaan yang belum diselesaikan berkaitan hak 40 peratus hasil bersih seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan satu corak pengelakan tanggungjawab perlembagaan apabila melibatkan hak Sabah.

Beliau berkata pendirian berkenaan bukan serangan terhadap Petronas dan bukan perbandingan antara Sabah dengan Sarawak, sebaliknya soal kesetiaan kepada Perlembagaan.

Katanya, Sabah menyertai Malaysia sebagai rakan pengasas dengan jaminan kawalan terhadap tanah dan sumber asli.

“Jika Putrajaya yakin akan kedudukan undang-undang, biarkan mahkamah membuat penentuan secara terbuka tanpa penolakan politik.

“Sabah tidak menuntut layanan istimewa. Sabah menuntut penghormatan perlembagaan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 01:14 PM GMT+8 , Processed in 2.388545 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list