CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 9727|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak berpotensi tarik pelaburan syarikat AS

[Copy link]
Post time 28-1-2026 10:27 AM | Show all posts |Read mode
Susulan kelebihan negeri ini dalam sektor tenaga, sumber air, hala tuju pembangunan ekonomi jelas, mampan



Kagan sesi bersama media sempena lawatan perpisahannya yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, semalam. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak berpotensi menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat-syarikat Amerika Syarikat susulan kelebihan negeri ini dalam sektor tenaga, sumber air serta hala tuju pembangunan ekonomi yang jelas dan mampan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata Kedutaan Amerika Syarikat (AS) secara aktif menggalakkan syarikat-syarikat AS yang berminat melabur di Malaysia supaya turut mempertimbangkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan.

“Setiap kali saya berjumpa dengan syarikat Amerika, saya akan beritahu mereka supaya melihat Sarawak. Keputusan akhir terpulang kepada mereka, namun Sarawak mempunyai potensi yang sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi bersama media sempena lawatan perpisahannya yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, semalam.

Kagan berkata, Sarawak memiliki kelebihan strategik khususnya dalam sektor tenaga diperbaharui, selain bekalan elektrik dan air yang mencukupi, sekali gus menjadikan negeri ini berpotensi sebagai hab pusat data dan teknologi pada masa depan.

“Salah satu kekangan utama pembangunan pusat data adalah bekalan elektrik dan air, dan Sarawak mempunyai kedua-duanya,” jelas beliau.

Selain sektor tenaga, beliau turut melihat peluang besar dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), teknologi serta ekonomi perkhidmatan, selari dengan usaha Sarawak untuk beralih kepada rantaian nilai yang lebih tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan ekonomi antara AS dan Malaysia, termasuk Sarawak, telah terjalin sejak lebih 125 tahun, dengan syarikat-syarikat AS memainkan peranan penting dalam pembangunan industri serta pembangunan bakat tempatan.

Pada masa yang sama, Kagan menyifatkan Sarawak sebagai antara negeri yang paling istimewa buat beliau dan keluarganya sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, ketika mengadakan lawatan perpisahan ke negeri ini.

Menurut beliau, keramahan serta keterbukaan rakyat Sarawak meninggalkan kenangan mendalam sejak lawatan pertamanya ke negeri ini pada 2014.

“Saya benar-benar menghargai kehangatan, keramahan dan keikhlasan rakyat Sarawak. Setiap kali saya datang ke sini, ia sentiasa membawa kegembiraan,” tambah beliau.

Kagan menyatakan bahawa Sarawak bukan sahaja penting dari sudut hubungan diplomatik, malah mempunyai makna peribadi buat beliau dan keluarganya yang telah beberapa kali berkunjung ke negeri ini, sama ada atas urusan rasmi mahupun percutian keluarga.

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan termasuk lawatan ke Taman Negara Bako, Gua Mulu, Semenggoh Wildlife Centre serta pengalaman menikmati suasana kopitiam tempatan di Kuching.

“Hakikat bahawa seseorang boleh berada di pusat bandar Kuching dan dalam masa kurang 40 minit dapat melihat orang utan di habitat semula jadi adalah sesuatu yang luar biasa,” jelasnya.

Beliau turut memuji perubahan pesat yang berlaku di Kuching serta perkembangan Sarawak yang disifatkan semakin dinamik, bertenaga dan berwawasan, hasil usaha kerajaan negeri dan penglibatan aktif rakyat tempatan.

Kagan turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ekonomi antara AS dan Sarawak akan terus berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri ini serta kestabilan dasar yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

Walaupun bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar AS pada 15 Februari depan, beliau menyatakan hasrat untuk terus kembali ke Malaysia dan Sarawak dalam kapasiti peribadi serta kekal menjadi penyokong hubungan AS–Malaysia pada masa depan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2026 01:14 PM GMT+8 , Processed in 1.858143 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list