Georgetown: Kejadian hakisan pantai di pesisir pantai Batu Ferringi di sini, adalah kejadian alam yang berlaku setiap tahun akibat Monson Timur Laut (MTL), namun kali ini menyaksikan hakisan yang semakin teruk berbanding tahun sebelumnya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kejadian itu menjadi perhatian serius terhadap keindahan pantai, keselamatan pengunjung serta aktiviti pelancongan setempat termasuk aktiviti sukan pantai yang juga destinasi popular di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini dalam tindakan bagi mengenal pasti faktor sebenar berlakunya hakisan yang semakin memburuk di pantai Batu Feringgi termasuk di Tanjong Bungah.
"Bagi menangani isu hakisan di kawasan pesisir pantai Tanjong Bungah yang membabitkan pantai di Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club, JPS sudah menyiapkan laporan teknikal berkenaan hakisan dan seterusnya dalam usaha bagi memohon peruntukan pelaksanaan tindakan mitigasi segera.
"Mengenai isu hakisan di kawasan pesisir pantai Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La di Batu Ferringgi pula, JPS tindakan mitigasi jangka pendek akan dilaksana iaitu penambahan 'sandbag' (guni pasir)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, JPS memohon peruntukan bagi tahun 2026 menerusi kerajaan persekutuan sebagai usaha mengurangi kesan hakisan di beberapa kawasan terjejas.
"Bagi cadangan mitigasi jangka masa panjang pula, kerajaan persekutuan meluluskan Projek Pembinaan 'outfall' dan struktur pencegahan hakisan pantai dengan peruntukan sebanyak RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rolling Plan 5 (RP5).
"Projek ini bertujuan mengurangi kadar hakisan di sepanjang pesisir pantai seterusnya memastikan kawasan pantai kekal selamat, stabil dan berdaya tarikan sebagai destinasi utama pelancongan," katanya lagi.
Menurut Zairil, kerja ukur hidrografi di tapak sudah siap dilaksana pada Disember tahun lalu dan proses lantikan perunding sedang dijalankan oleh pihak JPS serta dijangka dapat dimuktamadkan pada hujung bulan Februari depan.
Katanya, pelaksanaan kerja fizikal akan dimula selepas pelan reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya.
"JPS kini melaksana Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Pulau Pinang (ISMP) yang dijangka siap pada sukuan ketiga 2027.
"Kajian ini bertujuan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam mengenal pasti pantai yang berisiko mengalami hakisan supaya perancangan dan pelaksanaan kerja pencegahan dapat dibuat secara berperingkat, lebih sistematik dan menyeluruh," katanya.
Kelmarin, media melaporkan mengenai kejadian tiga pokok rhu yang tumbang di pesisir pantai di Batu Feringgi, di sini, sekali gus membimbangkan pengunjung dan masyarakat berhampiran mengenai keselamatan serta hakisan tebing.
Kira-kira 200 meter dari lokasi berkenaan, berlaku kejadian yang sama membabitkan beberapa pokok kelapa bersaiz kecil ketika pengunjung berkelah serta mandi di pantai berhampiran.
Pantai Batu Feringgi adalah destinasi pelancongan yang ikonik, bukan saja menjadi tumpuan pengunjung tempatan, malah pelancong luar negara.