
KUCHING: Mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia (MMM) kini telah dibuka dan beroperasi sepenuhnya untuk orang awam, wartawan, organisasi media dan pihak berkepentingan mengemukakan aduan.
Mekanisme ini katanya, dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan dan berfungsi sebagai saluran bebas, telus dan tidak bersifat punitif, selaras dengan prinsip kawal selia kendiri media.
Pengerusi Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan Datin Paduka Esther Ng berkata, beliau bersama ahli lembaga telah membincangkan secara menyeluruh dan bersetuju dengan mekanisme bagi mengendalikan aduan yang dikemukakan kepada Majlis.
“Perkara ini membuka laluan untuk kami melaksanakan tugas secara teratur dan sistematik, dengan SOP yang jelas telah ditetapkan.
“Ini merupakan antara tanggungjawab paling penting Majlis Media Malaysia dan adalah mustahak untuk mekanisme ini digerakkan dengan segera,” ujarnya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Lembaga pada 20 dan 21 Januari di Ibu Pejabat Media Prima, Bangsar.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi menyelaraskan hala tuju strategik Majlis serta keutamaan empat jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan, Jawatankuasa Reformasi Undang-Undang dan Literasi Media, Jawatankuasa Kemampanan Industri Media dan Pembangunan Profesional serta Jawatankuasa Pembangunan dan Pendanaan Media.
MMM turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan atau ketidakpuasan terhadap laporan media, termasuk dalam kes yang mendapat perhatian awam, harus disalurkan melalui mekanisme aduan yang sah dan beretika.
Dalam konteks perkembangan semasa, termasuk isu melibatkan China Press yang mencetuskan perdebatan awam dan reaksi meluas terhadap kandungan media, MMM menegaskan bahawa perkara sedemikian wajar ditangani melalui saluran profesional dan berinstitusi, bukannya melalui tekanan, intimidasi atau tindakan punitif/menghukum.
Selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Media Malaysia, organisasi media yang menjadi ahli MMM juga dikehendaki untuk mewujudkan mekanisme aduan dalaman masing-masing sebagai sebahagian daripada tanggungjawab editorial dan akauntabiliti profesional.
Namun dalam tempoh interim ini kata MMM, aduan berkaitan media masih boleh dikemukakan terus kepada MMM melalui saluran yang telah disediakan, sementara organisasi media melengkapkan atau memperkemas mekanisme aduan dalaman masing-masing.
Sumber : Utusan Borneo
|