
AMARAN: James (duduk tengah) ketika mengeluarkan kenyataan terhadap syarikat penyedia perkhidmatan internet berkenaan.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak menamatkan lantikan syarikat penyedia perkhidmatan internet sekiranya didapati gagal melaksanakan tanggungjawab seperti dipersetujui, khususnya membabitkan kemudahan internet di sekolah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata pihaknya menerima banyak keluhan serta aduan daripada pihak sekolah dan ibu bapa berhubung kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet oleh YTL di sekolah-sekolah di negeri ini.
Katanya, kelewatan itu memberi kesan langsung terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, selain menjejaskan usaha pendigitalan pendidikan melibatkan 736 sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP).
“Antara isu utama dikenal pasti termasuk perkhidmatan internet yang tidak memuaskan dengan capaian ‘bandwidth’ tidak mencapai tahap dijanjikan, selain respon lambat pihak YTL dalam menangani aduan sekolah.
“Selain itu, terdapat kelewatan pemasangan infrastruktur PoP walaupun lokasi sudah dikenal pasti, malah ada PoP yang disenaraikan sebagai siap tetapi belum boleh digunakan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
James berkata, sebahagian sekolah pula masih bergantung kepada menara 1BestariNet, menyebabkan kualiti capaian internet kekal rendah dan tidak konsisten, sekali gus menjejaskan keperluan asas pendidikan masa kini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan menilai semula prestasi YTL secara menyeluruh, termasuk pematuhan garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan dan respon terhadap aduan.
“Penilaian ini penting bagi memastikan tiada kelewatan berpanjangan yang terus menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman.
“Sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan ini demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited memastikan setiap sekolah di Sabah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Sumber : Utusan Borneo
|