
LANCAR: Pelancaran EP sulung berjudul Alunan dari Tanah Tinggi yang dijadual jam 7 malam di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra, di sini 30 Januari.
KOTA KINABALU: Kumpulan muzik etnik-rock Sabah, Tuni Sundatang mengumumkan pelancaran EP sulung berjudul Alunan dari Tanah Tinggi yang dijadual jam 7 malam di Ruang Tamu Ekosistem, Alamesra, di sini 30 Januari.
Pelancaran berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting buat kumpulan yang dianggotai enam anak jati Ranau yang dikenali dengan gabungan muzik kontemporari dan elemen tradisi masyarakat Dusun, menggunakan instrumen asli yang hampir pupus.
Alunan dari Tanah Tinggi yang membawa maksud “gema dari tanah tinggi” diinspirasikan daripada latar kehidupan dan landskap pergunungan Ranau.
EP itu bukan sekadar himpunan lagu, sebaliknya berfungsi sebagai arkib budaya yang menghidupkan kembali instrumen tradisional seperti sundatang dan toburi, selain kulintangan, sompoton, bungkau, tuntug serta seruling suling dan turali.
Pengasas kumpulan merangkap pembuat sundatang, Gindung McFeddy Simon berkata, EP berkenaan lahir daripada penyelidikan dan perjalanan panjangnya merentasi Sabah serta wilayah Borneo sejak 2017 bagi menjejaki sisa-sisa sejarah instrumen sundatang.
Menurutnya, usaha itu digerakkan bagi memastikan bunyi sundatang tidak lenyap ditelan zaman, malah terus diwarisi oleh generasi akan datang melalui muzik, rakaman, persembahan langsung dan dokumentasi visual.
“Hari pelancaran EP turut menampilkan tayangan video muzik Sayau Rondom yang dilancarkan pada 31 Oktober lalu serta War Cry yang diperkenalkan pada 22 Disember.
“Peminat yang hadir turut berpeluang mendapatkan barangan eksklusif termasuk kemeja-T, pelekat, poster serta album EP fizikal pertama kumpulan itu,” katanya.
Tuni Sundatang ditubuhkan pada 2021 dan terkenal dengan pendekatan muzik instrumental yang sarat dengan naratif budaya, adat serta identiti Borneo.
Nama kumpulan itu terus mencuri perhatian antarabangsa selepas meraih anugerah Best in Asia (Asian Folk) pada InterContinental Music Awards 2025 di Los Angeles, sekali gus meletakkan mereka antara tiga wakil Malaysia terpilih daripada lebih 500 finalis seluruh dunia.
Kejayaan itu diperkukuhkan lagi dengan sambutan memberangsangkan terhadap video muzik Sayau Rondom di YouTube yang mencatat lebih 100,000 tontonan dalam tempoh lima hari.
Disember lalu, kumpulan berkenaan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa Wonderfruit Festival 2025 di Chonburi, Thailand, apabila mempersembahkan karya menggunakan instrumen tradisi Dusun kepada audiens global merangkumi penggiat seni, profesional industri dan wakil media antarabangsa.
EP Alunan dari Tanah Tinggi menampilkan Gindung McFeddy Simon (sundatang), Apek Adrian Johnny (sompoton, suling, gong, tuntug, toburi), Dexter Ferrer Denis (kulintangan), Maxelvin Berimbun (bass, papan kekunci midi), Jiji Azizi Razlie (gitar) serta Oat Deen Shahrie Bidin dan Andrew Zeno sebagai pemain dram.
Kedua-dua video muzik EP itu menerima sokongan MyCreative Ventures, melibatkan kerjasama kreatif antara penggiat seni dari Sabah dan Kalimantan.
Sumber : Utusan Borneo
|