
KUCHING: Seorang wanita warga tempatan berusia 35 tahun mengalami kerugian RM91,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata berdasarkan kenyataan mangsa, pada 11 Januari 2026, ketika berada di rumah, mangsa ditawarkan satu Pelaburan MGM melalui aplikasi Telegram menjanjikan keutungan lumayan oleh orang yang tidak dikenali.
"Mangsa kemudiannya berminat dengan pelaburan tersebut dan diarah membuat pindahan wang ke akaun diberikan.
“Seterusnya mangsa telah membuat lima kali transaksi pembayaran ke lima akaun berbeza berjumlah RM91,000.
"Mangsa berasa tertipu kerana gagal mengeluarkan wang pelaburan tersebut berserta keuntungan dijanjikan.
“Akibat kejadian ini mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM91,000," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Jika sabit kesalahan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan selain dikenakan denda, ujarnya.
"Saya mengingatkan orang ramai agar menyemak senarai entiti berlesen di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my) dan jangan mudah percaya pada tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Jika menyedari telah ditipu dan mengalami kerugian boleh membuat aduan di talian Hotline NSRC di nombor 997 dalam tempoh 24 jam," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo
|