|
Ia bagi merealisasikan visi negeri menjadi kuasa ekonomi di ASEAN, kata Premier

Dr Sim (tujuh kanan) mewakili Premier memotong kek ulang tahun ke-50 PAMSC.
KUCHING: Sarawak memerlukan arkitek generasi baharu bagi merealisasikan visi negeri menjadi kuasa ekonomi di ASEAN.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini boleh dipupuk menerusi pelaksanaan transformasi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Beliau berkata skim tersebut, yang akan dilaksanakan tahun ini, merupakan satu pelaburan strategik bagi membangunkan modal insan Sarawak serta menangani kekurangan tenaga profesional yang diperlukan untuk menyokong pembangunan infrastruktur berskala besar dan mampan.
“Dengan menghapuskan halangan kewangan kepada pelajar memasuki empat universiti milik kerajaan negeri, kita membuka akses pendidikan tinggi kepada semua rakyat Sarawak untuk memperoleh ilmu bagi membangunkan Sarawak menjadi sebuah ekonomi maju.
“Kita akan melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur moden dan bertaraf dunia, khususnya pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu di Kuching, sejajar dengan visi kita untuk membangunkan Sarawak sebagai ekonomi bintang di ASEAN.
“Infrastruktur bertaraf dunia yang menekankan ciri-ciri kelestarian tidak dapat dibina tanpa membangunkan kumpulan profesional yang sepadan, khususnya arkitek seperti anda,” katanya.
Ucapan Abang Johari itu disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Keemasan Ke-50 Pertubuhan Akitek Malaysia Cawangan Sarawak (PAMSC) yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam semalam.
Beliau menyatakan keyakinan FTES akan membantu menangani kekurangan tenaga profesional yang diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak.
“Dengan FTES, saya amat yakin kita dapat menangani kekurangan profesional di Sarawak bagi menyokong visi kita untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi maju, setaraf dengan ekonomi maju lain di rantau ASEAN.
“FTES merupakan pelaburan yang perlu dibuat oleh Sarawak untuk rakyatnya dan ia mewujudkan sinergi yang kukuh dengan misi PAMSC.
“Apabila generasi baharu arkitek dibangunkan, peranan cawangan ini dalam bimbingan dan pembangunan berterusan menjadi amat penting dalam usaha mengintegrasikan mereka ke dalam budaya kecemerlangan yang anda semua junjung,” tambahnya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada PAMSC atas sambutan ulang tahun keemasannya, Abang Johari berkata cawangan tersebut telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak sepanjang lima dekad yang lalu.
Beliau berkata PAMSC, yang bernaung di bawah Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), telah secara konsisten mempromosikan kecemerlangan seni bina, pembangunan mampan, pendidikan profesional serta penglibatan komuniti melalui pelbagai program dan inisiatif Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).
Abang Johari turut menekankan peranan PAMSC dalam menyokong usaha pendigitalan kerajaan negeri, termasuk pelaksanaan sistem penyerahan dan kelulusan elektronik (eSPA) serta sistem pentadbiran tanah elektronik (eLA).
“Penglibatan bersama PAMSC telah membolehkan kerajaan negeri menyelami ‘denyut nadi’ industri pembinaan bagi merangka dasar yang berkesan dan realistik untuk mencapai visi bersama kita menjelang 2030,” katanya.
Menyentuh mengenai pembaharuan perundangan, beliau berkata Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 pada 25 November tahun lalu bagi memodenkan sektor pembinaan, termasuk penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak serta pengukuhan pengawasan terhadap profesional bangunan.
“Saya berbesar hati untuk mengiktiraf sumbangan ahli-ahli PAMSC yang telah memberikan pandangan profesional yang amat bernilai dalam membentuk undang-undang yang bersifat berwawasan dan praktikal untuk industri binaan di Sarawak,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Ar Adrianta Aziz, dan Pengerusi PAM Cawangan Sarawak Ar Noraini Narodden.
Sumber : Utusan Borneo
|