*Ini adalah artikel bersifat sindiran (sarcasm) dan isi yang dikarang hanya rekaan semata-mata...
ADA AKU KISAH?
Dengar khabar, sejak beberapa minggu lalu, kes-kes COVID-19 di sekitar Klang dan Petaling Jaya naik mendadak. Dari ratusan kes di Selangor kini sudah cecah ribuan kes.
Jadi? Apakah saya dan keluarga saya kena perapkan diri di dalam rumah sahaja? Bukan hanya saya, maksud saya semua orang, kawan-kawan, jiran, sanak-saudara, janganlah harap kami untuk duduk dalam rumah sahaja.
Saya tak kisah pun kalau frontliners kena kerja lebih masa, meninggalkan anak-anak di rumah orang kerana takut dijangkiti, terpaksa memakai sut PPE selama berjam-jam, dengar khabar ada yang rasa lemas dalam sut PPE kerana memakai lebih 12 jam semata-mata untuk berkhidmat demi mengawal penyebaran virus ini.
Saya tak kisah pun kalau pihak berkuasa seperti polis terpaksa bekerja lebih masa merisikokan diri dengan terdedah kepada virus korona; setiap hari ada sahaja kes orang meninggal dunia kerana COVID-19 dan ahli keluarga berpisah dengan pesakit sejak dikuarantin, termasuk anak kecil.
Saya tak kisah pun kalau ibu mengandung, mereka yang berpenyakit kronik, anak kecil dan orang tua mungkin antara golongan berisiko tinggi terdedah kepada pandemik ini hanya kerana saya adalah 'carrier' atau pembawa yang boleh menyebarkan virus tersebut.
|