Seorang wanita berstatus isteri orang dan kekasihnya diikat pada pokok kerana menjalin hubungan sulit.
Memetik Gulf News, rahsia mereka 'kantoi' apabila keluarga mentua wanita terbabit mengetahui mengenai hubungan sulit pasangan itu dan nekad 'memberi pengajaran' kepada mereka.
Pasangan itu dikatakan diikat pada pokok dan dipukul di hadapan orang ramai dan kejadian dilaporkan berlaku di perkampungan Ranika, di Haryana, India.
Difahamkan, kejadian itu dirakam beberapa penduduk kampung sebelum disebarkan ke media sosial.
Pada Sabtu lalu, wanita itu menghantar dua anaknya ke rumah mentuanya ditemani seorang lelaki. Dari situlah keluarga mentuanya mengesyaki mereka menjalin hubungan sulit.
Keluarga mentuanya kemudian mengheret pasangan itu ke luar rumah dan mengikat mereka di sebatang pokok.
Pasangan itu kemudian dipukul hingga menarik perhatian penduduk kampung yang kemudian merakam kejadian berkenaan sebelum menyebarkannya ke media sosial.
Berdasarkan video yang tular itu, anggota polis dilihat tiba di lokasi dan mendapati pasangan terbabit masih berikat di pokok berkenaan.
Selepas dibebaskan, wanita berkenaan dan kekasihnya tidak menjelaskan kejadian sebenar. Malah, pasangan kekasih itu beredar begitu saja dari lokasi tanpa menjelaskan kejadian sebenar.
Bagaimanapun, penduduk kampung yang menyaksikan pasangan itu diikat pada pokok dan dipukul menceritakan mengenai kejadian kepada polis.
Sementara itu, jurucakap polis Mahendra Singh memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian dan akan mengambil tindakan lanjut sebaik menerima aduan. - CARI