Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Infozon

Siapakah Tutu? Wajahnya Menjadi Dambaan Pelukis Potret Dan Pengumpul Seni Moden

14-12-2018 01:02 PM|Oleh: CSuy| Komen: 4

Keindahan potret Monalisa tiada tandingannya. Ia pernah hilang, namun berjaya ditemui kembali. Terkini, ada sebuah lagi lukisan yang memiliki latar belakang yang hampir sama.

Lukisan tersebut merupakan potret seorang puteri Nigeria yang memiliki rupa paras yang menawan. Lebih menarik lagi, khabarnya gadis rupawan tersebut masih hidup!

Potret ini disifatkan sebagai sebuah mahakarya seorang pelukis moden Nigeria yang bernama Ben Enwonwu. Adetutu Ademiluyi, atau Tutu merupakan seorang gadis bangsawan yang berasal dari kota kuno Ife yang terletak di barat daya Nigeria.

Memetik Guardian, Enwonwu telah terserempak dengan Tutu ketika menelusuri kota tersebut. Kerana terpesona dengan kejelitaannya, Enwonwu menghabiskan masa selama enam bulan untuk menjejaki puteri tersebut, dan seterusnya memujuk keluarga Tutu untuk membenarkan beliau melukis potretnya. Akhirnya terhasillah potret Tutu yang pertama pada tahun 1973.

Kredit Foto: Bonhams London
Enwonwu dikatakan terlalu menyayangi potret ini. Beliau mengalami kesukaran untuk menjual karyanya itu. Bukan kerana ia tidak mendapat sebarang tawaran, tetapi kerana Enwonwu kerap berubah fikiran. Beliau sanggup mengejar kembali pembelinya untuk memulangkan duit bayaran yang telah diterima.

Kerana tidak rela berpisah dengan potret tersebut, Enwonwu telah menghasilkan dua lagi potret Tutu. Malangnya, kesemua potret tersebut telah dilarikan pencuri yang memecah masuk ke kediaman beliau pada tahun 1993. Kehilangan ketiga-tiga potret Tutu meninggalkan kesan yang mendalam kepada Enwonwu. Penyakit kanser yang dihidapinya pada ketika itu juga telah memburukkan lagi keadaan. Tidak lama kemudian, Enwonwu meninggal dunia.

Namun pada Disember 2017, dunia seni dikejutkan dengan kemunculan salah sebuah potret Tutu. Giles Peppiatt, pengarah seni Afrika moden Bonhams, sebuah syarikat lelong British, secara tidak sengaja telah menjumpai potret kedua Tutu di sebuah pangsapuri di kota London. Potret ini dihasilkan oleh mendiang Enwonwu pada tahun 1974.

Kredit Foto: Bonhams London
Pemilik potret itu yang merahsiakan identitinya pada mulanya menjemput Peppiatt untuk menilai sebuah lukisan yang dipercayai sebagai karya Enwonwu. Lukisan tersebut telah dibeli oleh bapanya yang pernah aktif berniaga di Nigeria pada sekitar pertengahan hingga penghujung tahun 70-an. Difahamkan bahawa potret ini pernah dipamerkan seketika di bangunan kedutaan Itali pada tahun 1975 sebelum ia hilang semula.

"Melihatnya kembali di sebuah pangsapuri di utara London merupakan suatu yang menggembirakan. Kemunculannya adalah amat luar biasa," ujar Peppiatt.

Menurut Eyewitness News, potret tersebut kemudiannya telah terjual pada harga 1.2 juta Pound Sterling dalam satu lelongan yang diadakan pada bulan Februari. Dipercayai bahawa sebuah lagi potret Tutu berada dalam sebuah koleksi peribadi di Lagos, manakala Peppiatt sedang berusaha mengesan potret yang ketiga di Washington D.C.

Kredit Foto: Peter Nicholls/Reuters
Persoalannya, adakah Tutu masih hidup? Ronke Ademiluyi memaklumkan Guardian bahawa mendiang ayahnya merupakan sepupu kepada puteri tersebut. Mereka merupakan cucu kepada Raja Ife yang memiliki 37 orang isteri, beratus-ratus zuriat dan cucu.

"Kami pasti Tutu masih hidup, walaupun kami tidak tahu di mana keberadaanya," ujarnya. Usaha untuk mengesan Tutu yang dipercayai berada di Lagos mungkin sukar.

"Ada beribu-ribu ahli keluarga Ademiluyi. Agak sukar untuk kami mengenali satu sama lain," ujarnya lagi. Namun, salah seorang datuk saudaranya yang berusia 98 tahun mengesahkan bahawa Tutu masih hidup. Usianya kini dipercayai melebihi 60 tahun.

Kredit Foto: BBC
Mungkin suatu hari nanti Tutu akan tampil mendedahkan dirinya. Wajah rupawannya kini menjadi lambang kecantikan wanita Afrika dan simbol perpaduan negara Nigeria. - CARI

Apa Reaksi Anda...

Bagus
0
Marah
0
Terkejut
0
Sedih
0
Lawak
0
Bosan
0
Komen: 4
Komen

Previous : Kencing Manis Ketika Hamil? Mari Semak Langkah Mengawal Dan Cegah Diabetes!

Next       : Makhluk Yang 'Terpadam' Kromosomnya, Kes Aneh Wanita Bernama Kim Whim

Komen Terbaru

Quote VirginLady 17-12-2018 11:26 AM
aikss...yang baju merah kuning ni bukan Tutu tu ke

Lain-lain Komen

Quote Artemesiaa 14-12-2018 03:04 PM
Ooo kesahnya
Quote cekgihani 14-12-2018 03:29 PM
Cantiknya tutu
Quote chinta89 17-12-2018 11:02 AM
harap dpt jumpa siapa Tutu. mesti pemes kalau jumpa balik.
Quote VirginLady 17-12-2018 11:26 AM
aikss...yang baju merah kuning ni bukan Tutu tu ke

Lihat semua komen(4)

Untuk komen,
sila login atau daftar sebagai ahli CARI sekarang!

Register  Login or Facebook Login

10 Terpanas
 CARI App
Get it FREE Google play
 Twitter
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2019 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
0.103234s Gzip On
To Top