|
Port Dickson: Projek pembinaan jalan baharu dari Lukut ke Kampung Sirusa melalui Kampung Paya dan Kampung Bagan Pinang bernilai RM81.92 juta kini mendahului jadual pelaksanaan apabila merekodkan kemajuan fizikal 60.57 peratus, iaitu 43 hari lebih awal berbanding sasaran asal.
Perkembangan itu dimaklumkan ketika lawatan pemantauan projek oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, semalam. Beliau berkata, projek sepanjang 10 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 10 Ogos 2027 dan akan menjadi antara infrastruktur penting bagi memperkukuh jaringan jalan raya di daerah Port Dickson. Menurutnya, sehingga 25 Jun lalu, kemajuan fizikal projek mencapai 60.57 peratus berbanding jadual asal sebanyak 58.20 peratus. "Projek ini membabitkan pembinaan jalan baharu mengikut spesifikasi JKR R2, termasuk kerja pembinaan cerun, sistem saliran, pembetungan, struktur, utiliti serta kerja sokongan berkaitan bagi menyediakan laluan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti kepada pengguna. "Ia akan meningkatkan kebolehcapaian antara Lukut, Kampung Paya, Kampung Bagan Pinang dan Kampung Sirusa, sekali gus memperbaiki hubungan antara penempatan penduduk serta menyokong pembangunan sosioekonomi di Port Dickson," katanya. Projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu diluluskan menerusi peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan bertindak sebagai agensi pelaksana. Lawatan pemantauan itu bertujuan meninjau kemajuan kerja di tapak, memastikan pembinaan dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan standard ditetapkan, selain mengenal pasti sebarang isu serta langkah penyelesaian bagi memastikan projek disiapkan mengikut tempoh kontrak. Apabila siap kelak, jalan baharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan mengurangkan masa perjalanan, melancarkan aliran trafik serta menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa. Selain itu, projek berkenaan akan memudahkan akses penduduk ke pelbagai kemudahan awam seperti sekolah, klinik, balai keselamatan dan kawasan pelancongan di sekitar Port Dickson. Pada masa sama, pembinaan jalan itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perdagangan dan pelancongan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menarik pelaburan dan pembangunan baharu di kawasan sekitar. Kementerian Kerja Raya berkata, pelaksanaan projek itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk terus memperkasakan pembangunan infrastruktur berkualiti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan wilayah secara mampan.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
7-8-2026 07:59 PM GMT+8 , Processed in 0.030618 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.