|
Dubai: Iran dilaporkan meminta kumpulan Houthi di Yaman bersiap sedia untuk menutup laluan perkapalan minyak di Laut Merah, sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga negara itu, sekali gus menimbulkan ancaman baharu kepada bekalan tenaga global.
Menurut dua sumber kanan Iran dan satu sumber serantau, cadangan itu dibincangkan dalam kalangan kepimpinan tertinggi Republik Islam berkenaan sebelum mesej itu disampaikan kepada sekutu mereka, Houthi. Sumber berkenaan mendakwa kumpulan Houthi baru-baru ini dimaklumkan mengenai permintaan Tehran namun, perkara itu belum pernah dilaporkan sebelum ini. Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai cara mesej itu disampaikan atau sama ada ia dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk menyerang infrastruktur tenaga Iran pada 14 Julai lalu. Kementerian Luar Iran dan jurucakap Houthi belum dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berhubung laporan berkenaan. Sumber yang rapat dengan Houthi mendedahkan kumpulan itu sudah menyelesaikan persiapan untuk menyasarkan perkapalan dengan mengerahkan peluru berpandu dan dron berhampiran Selat Bab el-Mandeb. Sebarang ancaman terhadap laluan strategik di Laut Merah dan Selat Bab el-Mandeb berisiko memburukkan lagi krisis tenaga global yang tercetus susulan tindakan Iran menutup Selat Hormuz. Serangan Houthi terhadap kapal dagang atau pelabuhan di Laut Merah berpotensi menjejaskan dua laluan utama eksport minyak di Timur Tengah secara serentak sekali gus membuka satu lagi medan baharu dalam konflik yang semakin memuncak. Wakil Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran yang berada di Yaman dilaporkan akan menentukan masa yang sesuai untuk melaksanakan penutupan Selat Bab el-Mandeb. Dalam perkembangan berkaitan, Houthi dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke Arab Saudi selepas menuduh kerajaan negara itu mengebom sebuah lapangan terbang berada di bawah kawalan mereka pada 13 Julai lalu, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang bertahan selama empat tahun. Penganalisis Timur Tengah di Verisk Maplecroft, Torbjorn Solvedt berkata, peningkatan konflik sehingga menjejaskan infrastruktur eksport di Laut Merah akan mengancam satu-satunya laluan alternatif utama bagi eksport minyak dari rantau berkenaan. Konflik itu tercetus pada 28 Februari lalu apabila Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran yang kemudiannya bertindak menutup Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan tenaga global. Walaupun AS mendakwa Iran membekalkan senjata dan dana kepada Houthi menerusi Hizbullah, Tehran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan, manakala Houthi pula setakat ini belum mengumumkan penyertaan rasmi dalam konflik berkenaan.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
7-8-2026 07:50 PM GMT+8 , Processed in 0.030974 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.