CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Lebih 7,000 kes keganasan rumah tangga tahun lalu, 104 kes isteri sebagai pelaku - KPWKM

7-7-2026 03:57 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 102| Komen: 0|Original author: jiwarasa


Screenshot 2026-07-07 115508.png


KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan tahun lalu, dengan 104 kes membabitkan isteri sebagai pelaku, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius semua bentuk keganasan rumah tangga tanpa mengira kaum, jantina dan agama.

Beliau berkata, KPWKM menerusi beberapa agensi di bawah seliannya mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan terhadap mangsa.

Antara agensi yang terbabit adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

"Antara tindakan intervensi yang disediakan ialah Perintah Perlindungan Kecemasan (Emergency Protection Order - EPO) yang boleh dipohon tanpa laporan polis dan diproses JKM seawal dua jam.

"EPO yang sah selama tujuh hari memberi perlindungan segera kepada mangsa untuk mendapatkan rawatan, perlindungan sementara, bantuan psikososial serta mengambil tindakan lanjut seperti memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO) melalui mahkamah," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta langkah lebih tegas kerajaan bagi melindungi suami yang menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi dan kewangan.

Nancy berkata, JPW sejak 2025 melaksanakan Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT bagi mendekati masyarakat menerusi aktiviti berimpak tinggi, telus dan berfokuskan penyelesaian dalam menangani isu keganasan rumah tangga bersama pemandiri (survivor).

Beliau berkata, dari Januari hingga Jun 2026, seramai 1,708 peserta menyertai program itu yang diadakan di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang, dengan 298 daripadanya adalah lelaki.

"Program berkenaan turut memperkenalkan sesi intervensi psikologi K-Chat bagi membantu pemandiri dan mangsa menangani kesan emosi, psikologi serta sosial akibat keganasan yang dialami.

"Dalam tempoh sama, seramai 94 peserta menerima manfaat menerusi sesi K-Chat yang dianjurkan," katanya.

Sementara itu, katanya, LPPKN melaksanakan Modul Kebapaan: Peneraju Kepimpinan Keluarga bagi memperkasakan kaum lelaki menerusi pembangunan kemahiran kebapaan, pengurusan emosi, komunikasi berkesan, penyelesaian konflik secara harmoni serta pengurusan kesejahteraan mental.

Nancy berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuh peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, sekali gus membantu mengurangkan risiko konflik serta keganasan rumah tangga.

Beliau berkata, KPWKM melalui LPPKN turut menyediakan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga yang menawarkan sokongan psikososial, kaunseling dan intervensi khusus kepada individu serta keluarga yang berdepan konflik rumah tangga termasuk lelaki.

Selain itu, katanya, YKN menyediakan kaunseling individu dan keluarga, penilaian psikososial serta sokongan emosi bagi membantu pemulihan kesejahteraan psikologi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di seluruh negara.

"KPWKM menegaskan perlindungan terhadap mangsa keganasan rumah tangga adalah menyeluruh dan inklusif tanpa mengira jantina atau kategori mangsa.

"Kementerian akan terus memperkukuh kerangka perundangan, intervensi psikososial, pendidikan kekeluargaan serta penyelidikan berasaskan bukti bagi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan dan perlindungan sewajarnya," katanya.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-7-2026 01:04 PM GMT+8 , Processed in 0.151044 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top