CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Cabutan Bertuah Makin Jadi Trend, Mufti Terengganu Ingatkan Boleh Jadi Haram Jika Ada Unsur Judi

7-7-2026 11:25 AM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 221| Komen: 1|Original author: akido_kido


MUFTI-TERENGGANU.jpg


Trend penganjuran cabutan bertuah yang semakin kerap digunakan sebagai strategi pemasaran, termasuk oleh peniaga dalam talian dan influencer media sosial bagi melariskan  jualan, mengundang peringatan daripada Mufti Terengganu supaya masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran hadiah lumayan tanpa memahami hukumnya terlebih dahulu.

Mufti Terengganu, Profesor Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menegaskan, penyertaan dalam program cabutan bertuah boleh bertukar menjadi haram sekiranya pelaksanaannya mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi terhadap pengguna.

Menurut beliau, hukum asal menyertai cabutan bertuah bukanlah haram secara mutlak. Sebaliknya, ia bergantung kepada cara pelaksanaannya yang mesti mematuhi prinsip syariah.

“Sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian, ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.

“Perkara sama (haram) turut berlaku sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah oleh pihak penganjur bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta,” katanya menerusi surat rasmi.

Surat berkenaan dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap pertanyaan awam mengenai trend semasa penganjuran cabutan bertuah yang kini semakin meluas, termasuk menerusi platform digital.

Syed Hadzrullathfi menjelaskan, antara keadaan yang boleh membawa kepada unsur perjudian ialah apabila peserta diwajibkan membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata bagi melayakkan diri menyertai cabutan dan memenangi hadiah.

Beliau berkata, cabutan bertuah hanya diharuskan sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan, manakala harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kekal pada harga pasaran sebenar.

Pada masa sama, katanya, pembelian sesuatu produk tidak boleh dijadikan tujuan utama semata-mata untuk merebut hadiah, selain hadiah yang ditawarkan hendaklah dibiayai daripada sumber yang sah.

“Semua terma dan syarat penyertaan juga perlu dinyatakan secara jelas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan pengguna.

“Semua program cabutan bertuah khususnya melibatkan promosi digital dan pemasaran semasa perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah serta syarat penyertaan,” katanya.

Beliau turut berpandangan garis panduan khusus berkaitan pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah perlu diperluaskan kepada masyarakat dan pihak penganjur supaya aktiviti promosi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sebagai rujukan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut merujuk kepada Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 bagi membantu masyarakat memahami pelaksanaan cabutan bertuah yang menepati syariat.

Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran hadiah bernilai tinggi tanpa meneliti syarat penyertaan terlebih dahulu agar tidak terjebak dalam amalan yang bercanggah dengan hukum syarak.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote pinkpunk 8-7-2026 08:29 AM
helok doc ni

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-7-2026 01:43 PM GMT+8 , Processed in 0.045442 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top