MELAKA – Insiden remaja perempuan datang ke Hospital Melaka dalam keadaan berlumuran darah bulan lalu membongkar perbuatannya cuba menggugurkan kandungan berusia lima bulan dipercayai menggunakan pil.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kes itu terbongkar selepas pegawai perubatan hospital membuat laporan polis mengenai tindakan remaja berusia 18 tahun itu kira-kira jam 6.50 petang 25 April lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati remaja terbabit dipercayai mengambil pil untuk menggugurkan kandungan berusia 22 minggu sebelum mengalami komplikasi apabila uri gagal dikeluarkan sepenuhnya.
“Lebih mengejutkan, remaja berkenaan memaklumkan janin yang dilahirkan tidak bernyawa telah diambil teman lelakinya berusia lingkungan 18 tahun di rumahnya.
“Suspek lelaki merancang untuk menanamnya di belakang rumah namun menyembunyikan janin tersebut terlebih dahulu di dalam sebuah kereta jenis Honda City di kediamannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, Dzulkhairi berkata, pihak polis berjaya menahan remaja lelaki terbabit kira-kira jam 11.40 malam hari yang sama.
“Semalam, polis turut menahan remaja perempuan berkenaan selepas dia keluar dari hospital bagi membantu melengkapkan siasatan,” tambahnya.
Tambahnya, hasil saringan air kencing terhadap pasangan kekasih itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan Seksyen 315 kanun sama atas kesalahan menggugurkan kandungan dan menyembunyian kelahiran.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan kedua-dua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, Jumaat ini,” tambahnya. Sumber – MalaysiaGazette
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|