Kajang: "Seluruh keluarga berharap Qaseh segera ditemui, hari ini dan penemuan bola yang mahu diambil ketika kejadian juga membawa harapan kami supaya Qaseh dapat ditemui segera," kata Fakhira Fatin Mohd Saad.
Fakhira Fatin, 31, adalah ibu saudara kepada Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.
Fakhira Fatin berkata, ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Qaseh Deandra yang mesra disapa Qaseh itu masih diteruskan pasukan penyelamat yang memasuki hari ketiga, namun anak saudaranya masih belum ditemui setakat ini.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bola yang mahu diambil Nur Qaseh Deandra, semalam yang membawa kepada harapan mereka sekeluarga untuk kanak-kanak itu segera ditemui dalam keadaan apa saja.
"Kami semua bersedih dengan kejadian ini dan Qaseh juga masih belum ditemui, namun emosi abang serta kakak ipar (ibu bapa Nur Qaseh Deandra) stabil. Harapan kami semua hanya mahu Qaseh ditemui segera," katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Katanya, Nur Qaseh Deandra yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu disifatkan seorang kanak-kanak yang ceria dan suka bermain dengan abangnya.
"Kali terakhir saya jumpa Qaseh pada 18 April lalu, kami beraya bersama dan Qaseh memang anak saudara yang ceria.
"Hari ini hari ketiga (Nur Qaseh Deandra dilaporkan hilang) dan kami berharap orang ramai membantu mendoakan Qaseh ditemui segera," katanya.
Sementara itu, Komander operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan ketika dihubungi berkata, bola berkenaan sudah ditemui pada hari pertama SAR dan ia dibawa ke darat, semalam.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada barang milik mangsa yang ditemui dan SAR kanak-kanak itu juga sedang diteruskan.
Hari ini media melaporkan, kawasan pencarian SAR kanak-kanak perempuan itu diperluaskan ke Sungai Langat.
Izman dipetik berkata, radius SAR yang memasuki hari ketiga, hari ini membabitkan lima kilometer (km) dari lokasi kejadian di Pangsapuri Sri Hijau sehingga Sungai Long yang bersambung dengan Sungai Langat.
Menurutnya, pencarian turut dilakukan dari Sungai Langat sejauh 24 km menghala ke penahan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, menjadikan radius keseluruhan pencarian 29 km.
Sumber : Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|