|
Hari ini 11 tahun yang lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.
Beliau dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan daripada keturunan ulama. Bapanya, Nik Mat bin Raja Banjar merupakan guru agama yang terkenal & disegani di Kelantan, legasi yang diteruskan Nik Abdul Aziz. Beliau mendapat pendidikan awalnya di sekolah pondok di Kelantan & Terengganu, sebelum melanjutkannya ke India di Darul Uloom Deoband pada 1952. 5 tahun kemudian, beliau menuntut pula di Lahore, Pakistan dalam bidang tafsir Al-Quran. Pengajiannya diteruskan ke Universiti Al-Azhar, Mesir untuk mendalami Bahasa Arab. Selepas memperoleh Sarjana Muda dalam pengajian bahasa tersebut, beliau melanjutkan Sarjananya dalam bidang Perundangan Islam (Syariah). Pulang ke tanah air, beliau mula mengajar di Panchor sebelum menubuhkan Sekolah Agama Darul Anwar di Kampung Pulau Melaka pada 1962. Beliau juga menjadi tenaga pengajar di beberapa sekolah di sekitar Kelantan sebelum berkecimpung dalam dunia politik. Nik Abdul Aziz mendaftar sebagai ahli PAS pada 1967 & tahun yang sama beliau memenangi kerusi Parlimen Kelantan Hilir, yang kemudian ditukar nama kepada Pengkalan Chepa. Untuk 4 penggal seterusnya, beliau mewakili rakyat Parlimen tersebut. Pada 1986, Nik Abdul Aziz bertanding di DUN Semut Api (kini dikenali DUN Chempaka) & memenanginya, sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Pada 1994, beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS. Selepas 23 tahun menjadi Menteri Besar, Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan itu pada Mei 2013 apabila kesihatannya mula merosot. Namun beliau masih menjadi ADUN Chempaka, di samping terus giat mengajar & menyampaikan ceramah. Pada 19 Januari 2015, beliau dimasukkan ke HUSM kerana keadaan kanser prostatnya semakin memburuk. Beliau dibawa pulang ke rumah kira-kira jam 8.40 malam 12 Februari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 9.40 malam di sisi keluarganya. Selepas disembahyangkan pada jam 10 keesokan paginya, jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka. Sumber: Astro AWANI, Biswardi Hasbi
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
14-2-2026 12:27 AM GMT+8 , Processed in 0.150329 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.