|
TOKYO: Kerajaan Metropolitan Tokyo mengeluarkan nasihat baharu influenza selepas laporan menunjukkan lebih 6,000 kes disyaki dikesan di sekolah dan fasiliti kebajikan sosial di seluruh wilayah berkenaan.
Langkah itu menyusul selepas dua nasihat awal yang dikeluarkan pada Oktober dan November lalu ditarik balik, menjadikannya kali pertama dalam 17 tahun nasihat baharu dikeluarkan selepas amaran ditamatkan dalam musim yang sama. Menurut pihak berkuasa kesihatan Tokyo, jumlah pesakit yang dilaporkan di institusi perubatan berdaftar bagi minggu 19 hingga 25 Januari mencecah 13.83 pesakit bagi setiap institusi, melepasi ambang 10 yang diperlukan untuk mengeluarkan nasihat kesihatan awam. Sejak awal 2026, angka itu berada di bawah paras amaran, namun peningkatan mendadak dipercayai dipengaruhi oleh perjalanan semasa cuti hujung tahun, sambutan Tahun Baharu dan pembukaan semula sekolah selepas cuti musim sejuk. Setakat 25 Januari, lebih 6,000 laporan kluster influenza direkodkan di sekolah serta fasiliti kebajikan. Susulan itu, kerajaan metropolitan menggesa penduduk meningkatkan langkah pencegahan termasuk kerap mencuci tangan, melakukan nyahkuman dan memakai pelitup muka, terutamanya di tempat awam dan kawasan tertutup. Sumber: Astro Awani
|

ADVERTISEMENT