|
Lahir pada 1869, Mohandas Karamchand Gandhi membesar dengan ajaran Jainisme yang menolak keganasan. Beliau melanjutkan pelajaran ke England pada 1888, kembali ke India pada 1891 & menerima kontrak setahun bekerja di Natal, Afrika Selatan. Insiden dihalau dari gerabak kelas pertama & diusir dari tren di sana mencetus api perjuangan beliau. Gandhi mengasaskan Kongres India Natal & melancarkan kempen pertama ‘satyagraha’ (ketidakpatuhan awam besar-besaran) pada 1906. Lepas 7 tahun protes, persetujuan kompromi dicapai dengan kerajaan Transvaal. Gandhi pulang ke India pada 1914 & hidup zuhud jauh dari politik, namun tampil memimpin gerakan merdeka bermula 1919 bila British wajibkan penyertaan orang India ke dalam tentera. 1922 Gandhi dipenjarakan, dibebaskan 2 tahun kemudian & memimpin mogok lapar protes terhadap keganasan Hindu-Muslim. Pada 1930 beliau memimpin puluhan ribu pengikutnya berarak ke Laut Arab, protes terhadap cukai garam oleh British. Beliau ditahan & dilepaskan pada 1931 untuk menghadiri Persidangan Meja Bulat tentang India di London, dipenjarakan lagi selepas pulang. Pada 1934, beliau meninggalkan Kongres Nasional India untuk membangunkan ekonomi rakyat tersusah. Pada 1942, Gandhi melancarkan gerakan “Keluar India” mendesak pengunduran penuh British dari negara itu & dipenjarakan sekali lagi hingga 1944. Selepas terbentuk kerajaan baharu di Britain pada 1945, rundingan kemerdekaan bermula. Gandhi mahu India menyatu, tapi tak dipersetujui Liga Muslim. Terbentuk India & Pakistan pada 15 Ogos 1947, meletus pertumpahan darah antara penganut Hindu & Islam. Gandhi kecewa, protes dengan terus berpuasa & mendekati rakyat daif. Pada 5 petang 30 Januari 1948 ketika berada di Birla Bhavan, New Delhi, beliau ditembak mati oleh Nathuram Godse, ekstrimis yang berang dengan toleransi Gandhi terhadap Pakistan. Kematiannya diumum oleh PM India, Jawaharlal Nehru. Digelar ‘Mahatma’ (jiwa yang agung), beliau menjadi inspirasi gerakan perjuangan hak asasi manusia di serata dunia. Sumber: History,Astro Awani
|
