|
NEW YORK: Masalah global tidak akan dapat diselesaikan oleh satu kuasa yang 'menentukan segala-galanya' atau dengan pembahagian dunia kepada lingkungan pengaruh yang bersaing.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada dominasi Amerika Syarikat (AS) dan China di pentas global. Beliau berkata demikian ketika berucap kepada wartawan sempena permulaan tahun ke-10 dan terakhir beliau menerajui PBB. "Masalah global tidak akan diselesaikan oleh satu kuasa yang menentukan segala-galanya," katanya, sambil menjelaskan kenyataan itu merujuk kepada AS. Beliau menambah, isu global juga tidak akan dapat diselesaikan oleh dua kuasa besar yang membahagikan dunia kepada lingkungan pengaruh masing-masing. Mengulas lanjut, Guterres berkata wujud pandangan mengenai masa depan dunia berpaksi kepada dua blok kuasa utama, iaitu satu berpusat di AS dan satu lagi di China. "Jika kita mahukan dunia yang stabil, keamanan berkekalan serta pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, dan akhirnya memastikan nilai sejagat terus dipertahankan, kita perlu menyokong sistem dunia yang mempunyai lebih daripada dua pusat kuasa utama," katanya. Misi AS dan China ke PBB setakat ini tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen. Presiden AS, Donald Trump, yang memulakan penggal keduanya tahun lalu, dilihat menghidupkan semula pandangan dunia lama yang ditolak sebahagian besar masyarakat antarabangsa, iaitu pembahagian pengaruh oleh kuasa besar. Trump sebelum ini berikrar untuk mengembalikan dominasi AS di Hemisfera Barat. Kenyataan Guterres itu dibuat seminggu selepas Trump melancarkan Lembaga Keamanan, yang pada awalnya bertujuan mengukuhkan gencatan senjata rapuh di Gaza, namun kini dijangka memainkan peranan lebih luas, satu pendekatan yang membimbangkan beberapa kuasa dunia. "Pada pandangan saya, tanggungjawab utama terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa terletak pada PBB, khususnya Majlis Keselamatan (UNSC)," katanya. Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk reformasi UNSC, sambil menyifatkan kritikan terhadap keberkesanan PBB sering datang daripada pihak yang menentang pembaharuan institusi itu. Penggal kedua Guterres turut dicemari pelbagai krisis besar termasuk pencerobohan Russia ke atas Ukraine, kembalinya Taliban di Afghanistan, konflik di Sudan, perang Israel-Hamas di Gaza, penamatan perang saudara Syria serta penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, oleh AS. "Undang-undang antarabangsa semakin 'dipijak'. Kerjasama global semakin terhakis dan institusi pelbagai hala diserang dari pelbagai sudut," katanya. "Budaya bebas daripada hukuman terus mencetuskan konflik, menyemarakkan ketegangan dan membuka ruang campur tangan pihak berkuasa dari segenap arah," katanya. – REUTERS Sumber : Berita Harian
|
ADVERTISEMENT