|
Shah Alam: Tidak ambil peduli dengan operasi dan tindakan yang pihak berkuasa lakukan berkali-kali.
Itu sikap 'keras kepala' warga asing di daerah Kuala Selangor yang masih berdegil dengan menjalankan pelbagai perniagaan. Buktinya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) semalam melaksanakan operasi bersepadu di sekitar Bandar Puncak Alam dan Saujana Utama dengan kerjasama pelbagai agensi. "Sebanyak 12 premis diperiksa merangkumi premis gunting rambut, pusat cuci kenderaan, kedai karpet, kedai perabot serta kedai runcit dan makan. "Hasil pemeriksaan, lapan premis didapati beroperasi manakala empat premis tidak beroperasi. "Tindakan penguatkuasaan diambil ke atas lapan premis membabitkan penutupan premis, pengeluaran kompaun serta notis atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, pelanggaran syarat lesen, kesalahan kebersihan, kesalahan iklan tanpa lesen dan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. MPKS berkata, sebanyak 18 kompaun dan 11 notis dikeluarkan jabatan dan agensi terbabit. Selain itu katanya, tindakan sitaan peralatan perniagaan turut dilakukan ke atas tiga premis membabitkan pelbagai peralatan perniagaan termasuk peralatan gunting rambut, peralatan cuci kenderaan dan peralatan penyediaan makanan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT