
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tiga pemimpin yang mampu menerajui negara ini.
Harian Metro melaporkan, tiga pemimpin itu dilihat mempunyai kualiti, daya tahan dan karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran masa kini.
"Dalam keadaan dunia yang mencabar sekarang ini, negara kita, sangat-sangat memerlukan kepimpinan taraf dunia.
"Pada masa kini, negara sangat kekurangan pemimpin yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kini. Malaysia sangat memerlukan pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.
"Waktu sekarang nampaknya memang kita alami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan top class.
"Saya nak buat satu analisa. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tuga nama iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar.
"Pokoknya, mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan," katanya.
Tun Musa mengatakan sedemikian ketika Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Johor.
Dia turut mengakui tertarik dengan kepada MUDA dan ideologi Syed Syaddiq selain menamakannya sebagai pemimpin muda berpotensi.
"Saya berpeluang bercakap dengan dia. Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri.
"Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya dia mewakili golongan pemimpin masa depan.
"Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi MUDA bukan satu masalah," katanya.