Ramai sebenarnya yang mengadu mengenai sikap buruk pelakon wanita jelita ini walaupun berat untuk SS percayai. Sebabnya pada mata SS, sepanjang mengenalinya, pembawaan diri pelakon berdarah kacukan ini cukup menyenangkan. Namun, apabila sudah tiga atau empat orang berlainan buka cerita yang sama mengenai pelakon itu, mungkin ada kebenaran di sebalik dakwaan itu. Mungkin juga depan kita pelakon yang tak kontang kontroversi itu sekadar menjaga adab kerana status media digalas SS ini. Tak kisahlah bab itu, tapi yang SS nak kongsi di sini adalah perangai buruk pelakon terbabit dengan kekasihnya yang juga pelakon popular. Menurut rakan SS, dia naik meluat dengan kelakuan tak sensitif dan semberono pelakon wanita itu ketika berada di sebuah restoran di ibu negara, baru-baru ini. Punyalah asyik pasangan itu dating hinggakan perbualan manja antara mereka itu boleh didengari hampir seluruh restoran kerana mereka berbual dalam nada yang cukup kuat! Bayangkan, mahu tak menggeleng kepala pelanggan yang lain apabila pelbagai hikayat hidup dari kisah sang kancil hingga hal dalam kain dibualkan antara pasangan ini bagaikan sebuah persembahan opera di pentas. Langsung tak peka dan hormat pada orang keliling. Bukan tak boleh berborak, tapi berpada-padalah lontaran vokal itu. Orang sekeliling nak ruang privasi mereka ketika menikmati hidangan dan bukan nak dengar cerita purbakala pelakon itu. Kata rakan SS, mujur juga ketika kejadian itu tidak ramai pelanggan mengenali pasangan terbabit. Kalau tak tentu jadi tak sedap. Rakan itu pula tak kuasa nak mencetuskan konflik kalau dia tegur pasangan berkenaan. Jadi mahu tak mahu layan sajalah. Cuma SS berpandangan, perkara asas seperti menghormati orang sekeliling begini sepatutnya artis perlu terapkan dalam diri masing-masing setiap masa. Malulah sikit bila sudah besar panjang begini, adab dan etika asas begitu pun ditegur oleh orang lain. SS: Jarang berbual ketika makan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 10:08 AM
|