Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi membuktikan statusnya sebagai pelari pecut terbaik negara apabila merangkul pingat emas acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China, sebentar tadi.
Azeem mempamerkan larian cemerlang untuk menjuarai final dengan catatan 10.17 saat (s), sekali gus menewaskan wakil Iraq, Falah Hasan Al-Khazaali yang meraih perak menerusi catatan 10.21s, manakala gangsa menjadi milik pelari Qatar, Salah Nur I A Yunis dengan masa 10.23s.
Kejayaan itu mengesahkan sasaran yang diletakkan Azeem sebelum kejohanan apabila bertekad meninggalkan mentaliti sekadar memburu catatan masa, sebaliknya mahu memburu kemenangan dan podium setiap kali turun beraksi di pentas antarabangsa.
Terdahulu, atlet berusia 22 tahun itu terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas muncul antara pelari terpantas separuh akhir dengan catatan 10.15s.
Catatan 10.17s yang dilakukan di final turut membuktikan konsistensi Azeem musim ini selepas sebelum ini muncul juara Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 dengan masa 10.21s.
Kejayaan di Ordos itu juga hadir tepat pada masanya ketika Azeem sedang mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih besar pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, September depan, yang menjadi sasaran utamanya musim ini.