Kuala Lumpur: Skuad wushu negara menutup kempen Kejohanan Piala Dunia Taolu IWUF Ke-4 di Haikou, China dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan satu pingat emas dan satu gangsa pada hari terakhir pertandingan, hari ini.
Pingat emas negara hadir menerusi gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min yang muncul juara dalam acara Duilian (berpasukan wanita) selepas mengumpul 9.660 mata.
Walaupun berkongsi jumlah mata yang sama dengan pasukan Itali, trio negara berjaya dinobatkan sebagai juara, manakala Hong Kong melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 9.653 mata.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan keupayaan skuad negara untuk bersaing di pentas dunia menerusi persembahan yang kemas, bertenaga dan penuh disiplin sepanjang rutin dipersembahkan.
Sementara itu, Tan Cheong Min turut menambah koleksi pingat negara apabila meraih gangsa dalam acara individu Nandao (pedang lebar wanita).
Atlet negara itu mengumpul 9.220 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang wakil China yang meraih emas dengan 9.783 mata, manakala Macau membawa pulang perak selepas mencatat 9.446 mata.
Kejayaan pada hari terakhir itu melengkapkan kempen cemerlang Malaysia di Haikou selepas skuad negara turut melakar gemilang pada saingan semalam.
Atlet negara, Tan Cheong Min mempertahankan gelaran acara nangun wanita dengan kutipan 9.746 mata, sekali gus menghadiahkan pingat emas kedua negara, manakala Pang Pui Yee menyumbang pingat perak dalam acara qiangshu wanita menerusi 9.726 mata.
Sehari sebelum itu, Lee Jia Rong turut muncul juara acara daoshu wanita, sekali gus menyaksikan Malaysia menutup saingan dengan pencapaian membanggakan di pentas dunia.
Pencapaian itu melengkapkan kempen positif kontinjen negara di Kejohanan Piala Dunia Taolu IWUF Ke-4 yang berlangsung di Haikou dari 4 hingga 9 Julai, sekali gus memberi petanda baik menjelang temasya Sukan Asia di Aichi Nagoya, Jepun pada September nanti.