Assen: Pelumba Jepun, Ai Ogura meraih kemenangan sulungnya dalam MotoGP di Grand Prix (GP) Belanda, ketika pendahulu kejuaraan sebelum perlumbaan, Marco Bezzecchi terbabit dalam kemalangan pada kelajuan melebihi 200 kilometer (km) sejam sekali gus dikejarkan ke hospital.
Ogura menamatkan perlumbaan lebih dua saat di depan rakan sepasukan Aprilia, Raul Fernandez manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Jorge Martin, berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 1.5 saat (s) di litar yang berliku dan berbukit itu.
"Ini sesuatu yang luar biasa. Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan tetapi saya benar-benar gembira.
Terima kasih banyak kepada pasukan saya," kata Ogura.
Fernandez yang memenangi perlumbaan pecut semalam, menghabiskan hampir dua pertiga perlumbaan di belakang Martin sebelum berjaya memintas pelumba itu.
Namun, Ogura yang menunggu masa sesuai kemudian memintas rakan sepasukannya itu sebelum meninggalkan kelompok hadapan untuk mencipta kemenangan bergaya.
Kejayaan itu turut menamatkan penantian Jepun untuk kemenangan MotoGP sejak Makoto Tamada melakukannya pada 2004.
Ogura yang beraksi musim pertamanya dalam kelas utama MotoGP bersama pasukan Trackhouse sebelum ini meraih petak utama di GP Republik Czech minggu lalu, namun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Pelumba berusia 25 tahun itu turut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Le Mans, Perancis pada Mei lalu, sekali gus menjadi pelumba Jepun pertama menaiki podium MotoGP sejak Katsuyuki Nakasuga di GP Valencia 2012.
Dalam saingan kejuaraan dunia, Martin kini mengambil alih kedudukan pendahulu dengan kelebihan tujuh mata ke atas Bezzecchi, manakala pelumba Itali, Fabio Di Giannantonio, berada 16 mata di belakang pendahulu.
Sementara itu, Bezzecchi mengalami kemalangan ngeri pada pusingan ketiga apabila tercampak dan berguling beberapa kali selepas terjatuh pada kelajuan tinggi.
Pelumba Aprilia dari Itali itu bernasib baik kerana terpisah daripada jenteranya sebaik terjatuh dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedar, namun dilaporkan mengalami 'kesakitan yang teruk'.