Edited by sfhzuraz at 25-6-2026 11:29 PM
BAM sahkan pemergian Tze Yong
Oleh Helmi Talkah - Jun 25, 2026 @ 5:26pm

BAM mengesahkan Tze Yong meninggalkan badan induk itu dan bergerak secara profesional. - Foto BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan meninggalkan badan induk itu secara persetujuan bersama berkuat kuasa 30 Jun ini.
Keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kedua-dua pihak yang bersetuju bahawa langkah berkenaan adalah yang terbaik bagi pemain berusia 26 tahun itu meneruskan fasa baharu karier profesionalnya.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan Tze Yong dijangka membuat keputusan berhubung masa depannya bersama BAM dalam tempoh terdekat, dengan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan termasuk bergerak secara profesional.
Tze Yong yang pernah mencapai ranking tertinggi ke-14 dunia pada November 2023 antara pemain harapan negara dengan pencapaian membanggakan termasuk pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022, emas Kejohanan Berpasukan Asia 2022 serta gangsa Piala Sudirman 2021 dan 2023.
Bagaimanapun, prestasinya terjejas akibat siri kecederaan termasuk masalah belakang pada 2024 dan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2025 yang memerlukan pembedahan serta proses pemulihan panjang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Tze Yong kekal antara pemain penting yang pernah mewakili negara dengan penuh komitmen di pentas antarabangsa.
"Tze Yong telah menjadi sebahagian penting skuad kebangsaan dan mewakili Malaysia dengan penuh bangga di pentas antarabangsa.
Walaupun kecederaan menjejaskan perjalanan kariernya, ketabahan dia sepanjang proses pemulihan amat dihargai.
"Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju ini adalah langkah terbaik pada fasa ini.
Bagi pihak BAM, kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau dan mendoakan kejayaan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Tze Yong turut merakamkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, staf sokongan serta rakan sepasukan yang banyak membantu sepanjang bersama skuad kebangsaan.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum merancang langkah seterusnya dalam karier profesionalnya.
"Buat masa ini, fokus saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan kembali cergas.
Saya akan mengambil masa daripada pertandingan untuk menjalani pemulihan sebelum kembali ke gelanggang," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/06/1577811/bam-sahkan-pemergian-tze-yong
|