“Sebenarnya saya nak minta jasa baik semua untuk sama-sama mendoakan kes Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun ini, tidak lama saja lagi.”
“Tapi sebelum itu, saya ingin berbesar hati menjemput ramai orang, yang mengenali untuk sama-sama menjayakan majlis solat hajat dan juga doa selamat untuk Syed Saddiq di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di Kelana Jaya.”
Menurut Bella, kehadiran dan doa daripada orang ramai amat bermakna sebagai salah satu usaha dan sokongan moral buat Syed Saddiq yang sedang melalui proses perundangan tersebut.
Dalam hantaran sama, Bella turut menitipkan doa agar tunangnya diberikan ketenangan, kekuatan dan keadilan sepanjang berdepan proses mahkamah itu.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 30 Jun depan.
Sebelum ini, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada November 2023.