Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia di Terbuka Macau berakhir selepas semua lima wakil negara yang beraksi di pentas separuh akhir hari ini gagal melepasi halangan lawan masing-masing.
Harapan terbesar negara untuk menyaksikan wakil mara ke final menerusi beregu wanita muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting tidak kesampaian apabila pasangan itu tewas 18-21, 13-21 kepada gandingan China, Bao Li Jing-Cao Zi Han di Macau East Asian Games Dome.
Pasangan negara yang turun selaku pilihan kedua kejohanan itu cuba memberi tentangan pada set pertama, namun gagal mengekalkan momentum sebelum akur dalam straight set.
Turut terkandas ialah beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang tewas 11-21, 22-24 kepada pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Pang Ron-Pei Jing hampir mengheret perlawanan ke set penentuan apabila memberi saingan sengit pada set kedua, namun pengalaman lawan menjadi pemisah untuk melangkah ke final.
Dalam acara beregu lelaki, dua pasangan profesional negara turut ditunjukkan jalan keluar.
Chia Wei Jie-Teo Ee Yi gagal menandingi kehebatan pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Lee Jong Min apabila tewas 4-21, 11-21.
Satu lagi beregu negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut menerima nasib sama selepas tunduk 12-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia, Ali Faathir Rayha-Devin Artha Wahyudi.
Sementara itu, cabaran terakhir Malaysia dalam acara perseorangan lelaki menerusi Eogene Ewe juga berakhir di separuh akhir.
Pemain muda negara itu yang mencipta kejutan menyingkirkan wakil Singapura, Jason Teh pada suku akhir semalam gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas 15-21, 18-21 kepada pemain China, Hu Zhe An.
Kekalahan Eogene melengkapkan hari mengecewakan kem negara apabila tiada seorang pun wakil berjaya menempah tiket ke pentas final.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menutup tirai kempen Terbuka Macau 2026 tanpa sebarang wakil dalam perebutan gelaran.