Sivasangari buat juara dunia terduduk
Oleh Helmi Talkah - Jun 20, 2026 @ 12:15pm

Sivasangari meraikan kejayaannya menumpaskan Omina pada aksi separuh akhir Jelajah Akhir PSA hari ini. - Foto PSA
KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari mencipta kejutan terbesar musim ini apabila menyingkirkan juara dunia, Amina Orfi untuk melangkah ke final Jelajah Akhir PSA di Paris, awal pagi tadi.
Pemain ranking kelima dunia itu mempamerkan aksi penuh bersemangat sebelum menewaskan pemain nombor dua dunia dari Mesir itu 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 dalam pertarungan separuh akhir yang berlangsung selama 74 minit.
Kemenangan berkenaan dianggap pencapaian besar buat Sivasangari memandangkan Orfi hadir ke Paris dengan reputasi cukup menggerunkan selepas muncul juara Terbuka British dan Kejohanan Dunia musim ini.
Malah, kejayaan itu turut menjadi kemenangan ketiga Sivasangari ke atas Orfi dalam 10 pertemuan antara mereka.
Lebih manis, pemain berusia 27 tahun itu muncul wanita Malaysia kedua berjaya mara ke final Jelajah Akhir PSA selepas legenda skuasy negara, Datuk Nicol David yang pernah menjuarai kejohanan berprestij itu pada 2011 dan 2012.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menantinya di pentas final apabila bakal berdepan pemain nombor satu dunia, Hania El Hammamy dari Mesir yang menewaskan rakan senegaranya, Fayrouz Aboulkheir 11-10, 11-8, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sivasangari berkata, kekal tenang dan membuat keputusan tepat pada saat-saat kritikal menjadi kunci kejayaannya menumbangkan Orfi.
"Saya kekal positif sepanjang perlawanan.
Orfi adalah pemain yang sangat agresif dan tidak pernah mengalah, jadi kemenangan ini amat bermakna buat saya.
"Saya berjaya membuat keputusan yang tepat pada mata-mata penting dan itu banyak membantu saya," katanya.
Menurutnya, kejayaan mara ke final kali ini cukup istimewa selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada peringkat kumpulan dalam edisi tahun lalu.
Malah, dia mengakui tersingkir seawal pusingan ketiga Terbuka British baru-baru ini turut meninggalkan kekecewaan besar, namun pengalaman itu dijadikan pembakar semangat untuk menamatkan musim dengan cemerlang.
"Saya kecewa dengan prestasi di Terbuka British kerana tidak bermain seperti yang saya harapkan.
"Tetapi saya berjanji kepada diri sendiri untuk terus kuat dan menamatkan musim dengan keputusan terbaik.
Saya gembira dapat menewaskan Orfi, namun tugas saya masih belum selesai," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/06/1574768/sivasangari-buat-juara-dunia-terduduk
|