Subang: Konflik di Timur Tengah membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) memberi pengajaran strategik besar kepada dunia sekali gus menuntut Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, khususnya dalam aspek keselamatan laluan komunikasi laut dan ruang udara.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, gangguan terhadap laluan komunikasi laut di Selat Hormuz bukan saja menjejaskan bekalan tenaga dunia tetapi turut memberi impak kepada ekonomi global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.
Menurutnya, sebagai negara maritim, Malaysia amat bergantung kepada keselamatan laluan komunikasi laut, khususnya di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang menjadi nadi kepada perdagangan dan ekonomi negara.
"Dalam era moden kini, keupayaan untuk melindungi laluan komunikasi laut melalui kuasa udara menjadi faktor kritikal kepada keselamatan dan kelangsungan ekonomi sesebuah negara.
"Justeru, keupayaan kuasa udara dalam menjamin keselamatan ruang udara dan memperkukuh kesedaran domain maritim tidak boleh dilihat secara terpisah," katanya dalam ucapan pada Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68, di sini hari ini.
Muhamad Norazlan berkata, realiti itu menuntut kita untuk lebih peka dan bersedia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, TUDM mesti terus berupaya menjadi perisai utama negara bagi memastikan kepentingan strategik, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman, sama ada tradisional mahupun asimetrik.
Dalam pada itu, beliau berkata, TUDM kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Fasa Pertama Pelan CAP55 bagi memastikan pembangunan keupayaan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman masa hadapan.
Katanya, menerusi tonggak pembangunan keupayaan dan kesiapsiagaan operasi, tiga bidang utama diberi penekanan iaitu pengukuhan sistem pertahanan dan pemantauan ruang udara negara, keupayaan intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR) serta pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan.
"TUDM kini sedang membangunkan radar pertahanan udara di Bintulu, Bukit Peteri dan Bukit Lunchu, termasuk radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang bagi meningkatkan pengesanan awal dan menutup jurang pemantauan ruang udara negara terutama di kawasan strategik.
"Pengoperasian unmanned aerial system (UAS) ANKA-S dan persiapan pengoperasian pesawat maritime patrol aircraft (MPA) P-72M akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam pengawasan, pengumpulan maklumat dan pemantauan kawasan kepentingan negara.
"Pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan melalui Program Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) yang mana perolehan pesawat FA-50M akan memperkukuh ekosistem latihan dan pembangunan juruterbang pejuang generasi baharu," katanya.
Menurutnya, kerjasama strategik dengan industri pertahanan tempatan akan terus diperkasa bagi meningkatkan keupayaan sustainment, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan menyokong pembangunan industri pertahanan negara.
Katanya, warga pasukan itu turut membuktikan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan tinggi menerusi pelbagai operasi dan misi yang dilaksanakan sama ada di dalam mahupun luar negara.
"Antaranya kejayaan kru pesawat AW139 melaksanakan misi pertukaran detasmen di Kompleks Radar Gunung Ngili dalam keadaan cuaca buruk demi memastikan operasi pemantauan ruang udara negara tidak terjejas," katanya.