CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 304|Reply: 1

[Sukan & Senibela Diri] Shah Firdaus kalahkan Azizulhasni untuk emas keirin

[Copy link]
Post time 10-6-2026 10:11 PM | Show all posts |Read mode
Shah Firdaus kalahkan Azizulhasni untuk emas keirin

Oleh BERNAMA - Jun 10, 2026 @ 8:00pm





Shah Firdaus (kanan) meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara keirin Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional Nilai. NSTP/HAZREEN MOHAMAD



NILAI: Pelumba Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom menafikan cabaran hebat jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk mengungguli acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Walaupun Mohd Azizulhasni cuba melakukan henjutan saat akhir, namun Muhammad Shah Firdaus tetap tenang dengan kayuhannya dan melintasi garisan penamat untuk menyambar emas pada saingan yang berlangsung di Velodrom Nasional.

Mohd Azizulhasni yang mewakili Team Azizul memenangi perak manakala gangsa milik Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.

Muhammad Shah Firdaus berkata dia hanya melakukan pecutan pada pusingan akhir dan lega dapat menyekat kemaraan Mohd Azizulhasni, sekali gus kembali ke puncak podium selepas kali terakhir memenangi kejohanan kebangsaan pada edisi 2022.


"Dua pusingan pertama saya kekalkan kelajuan dahulu, namun apabila loceng berbunyi saya memecut sepenuhnya. Alhamdulillah saya berjaya raih nombor satu," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni akur dengan kecemerlangan Muhammad Shah Firdaus walaupun sudah memberi sedaya upaya pada perlumbaan akhir acara kegemarannya.

Pemenang pingat perak keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus dan gembira melihat lawannya kembali mendapat rentak menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sukan Komanwel 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai-2 Ogos manakala Sukan Asia 2026 pula dari 19 Sept-4 Okt ini.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan penguasaannya dalam acara keirin elit wanita untuk menghadiahkan emas buat Kedah.

Nurul Izzah Izzati menumpaskan Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor yang merangkul perak dan pelumba Team Cahya Mata Anis Amira Rosidi terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Nurul Izzah yang puas dengan kejayaan hari ini berharap dapat mengekalkan momentum untuk bersaing dalam acara pecut esok.

Kejohanan selama empat hari yang bermula semalam berakhir Jumaat ini.

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/06/1569883/shah-firdaus-kalahkan-azizulhasni-untuk-emas-keirin





Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 14-6-2026 11:26 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Sukan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-7-2026 03:54 PM GMT+8 , Processed in 0.188222 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list