Edited by sfhzuraz at 6-6-2026 11:46 PM
Wartawan Iran, Afrika gagal dapat visa Piala Dunia
REUTERS - Jun 6, 2026 @ 11:14pm

International Sports Press Association (AIPS) mendakwa ramai wartawan dari Iran dan negara-negara Afrika gagal memperoleh visa yang diperlukan untuk membuat liputan Piala Dunia di Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
LAUSANNE, Switzerland: Sebuah badan kewartawanan antarabangsa mendakwa ramai wartawan dari Iran dan negara-negara Afrika gagal memperoleh visa yang diperlukan untuk membuat liputan Piala Dunia di Amerika Syarikat.
Presiden International Sports Press Association (AIPS), Gianni Merlo, menyuarakan kebimbangan itu menerusi surat yang dihantar kepada pegawai media FIFA semalam.
Menurut Merlo, ramai wartawan yang sudah mendapat akreditasi rasmi masih berdepan masalah visa, termasuk wartawan dari Iran dan beberapa negara Afrika.
"Ramai rakan wartawan dari Iran dan Afrika tidak mendapat visa, manakala ada yang hanya diberikan visa kemasukan tunggal," kata Merlo.
Beliau menjelaskan bahawa visa kemasukan tunggal menimbulkan masalah besar kerana sesetengah pasukan akan bermain di lebih daripada satu negara tuan rumah membabitkan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Jika wartawan meninggalkan Amerika Syarikat untuk membuat liputan perlawanan di Kanada atau Mexico, mereka mungkin tidak dibenarkan masuk semula ke Amerika Syarikat.
Merlo turut menyatakan bahawa keadaan itu bercanggah dengan semangat kesukanan yang sepatutnya menyatukan negara dan rakyat dari pelbagai latar belakang.
"Kehadiran wartawan amat penting untuk imej sukan dan nilai yang dibawanya, terutama di negara seperti Amerika Syarikat yang sering menekankan kebebasan akhbar," katanya.
Beliau juga menegaskan ramai wartawan mengalami kerugian kerana tiket penerbangan yang ditempah lebih awal tidak dapat digunakan, selain terpaksa menanggung kos tambahan.
Piala Dunia 2026 yang membabitkan 48 pasukan akan bermula pada 11 Jun dan berlangsung sehingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sehingga kini, pihak berkuasa Amerika Syarikat dilaporkan belum memberikan maklum balas rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/06/1568099/wartawan-iran-afrika-gagal-dapat-visa-piala-dunia
|