Pelajar sakit gastrik tak mengaku rompak dompet warga emas Pelajar institut kemahiran, M Dinessvvaran, 19, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyamun dompet seorang warga emas. - Foto NSTP/Auris Faqrurazzi GEORGETOWN: Seorang pelajar institut kemahiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merompak dompet milik seorang lelaki warga emas bulan lalu.
Tertuduh, M Dinessvvaran, 19, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Berdasarkan pertuduhan, remaja terbabit didakwa melakukan rompakan terhadap Lee Yeow Lim, 78, dengan merampas dompet dari poket baju mangsa di tepi Jalan Pahang di sini pada jam 5.52 petang, 24 Mei lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh.
Bagaimanapun Nur Adilla memohon kadar jaminan lebih rendah dan memaklumkan tertuduh adalah penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Jitra, Kedah dalam jurusan Mekatronik selain mempunyai masalah gastrik.
"Tertuduh ditanggung ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Dia juga mempunyai tiga adik beradik lain termasuk seorang abang Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan dengan tertuduh dilarang daripada mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
|