Edited by sfhzuraz at 5-6-2026 09:49 AM
Iraola dilantik pengurus baharu Liverpool
Jun 5, 2026 @ 6:25am

Andoni Iraola dilaporkan menandatangani kontrak selama dua tahun sebagai pengurus baharu Liverpool. – Foto liverpoolfc.com
LIVERPOOL, England: Liverpool melantik Andoni Iraola sebagai pengurus baharu mereka awal pagi tadi selepas memecat Arne Slot susulan kegagalan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Iraola pantas muncul sebagai pilihan utama Liverpool untuk menggantikan Slot, yang mana tempoh dua tahunnya di Anfield berakhir secara mengejut apabila dipecat Sabtu lalu.
Liverpool tidak mendedahkan tempoh kontrak jurulatih Sepanyol berusia 43 tahun itu, namun media Britain melaporkan beliau menandatangani kontrak selama dua tahun.
"Saya amat teruja kerana setiap orang tahu mengenai Liverpool, sebuah kelab besar, antara yang terbesar di dunia," kata Iraola yang menamatkan tempoh cemerlangnya bersama Bournemouth pada hujung musim ini kepada laman sesawang rasmi Liverpool.
"Tetapi apabila saya memahami dengan lebih mendalam mengenai kelab ini, saya sentiasa berasakan ia sebuah kelab yang istimewa.
"Anda tidak memerlukan banyak sebab untuk tertarik dengan Liverpool. Liverpool tetap Liverpool.
"Tetapi suasana, penyokong, kelab, pemain dan peluang untuk saya melatih pemain bertaraf dunia serta bersaing merebut trofi.
"Saya rasa sukar mencari sesuatu yang lebih menarik daripada ini. Jadi saya sangat teruja untuk memulakannya."
Selepas prestasi Liverpool yang hambar pada musim kedua Slot di Anfield menerima kritikan hebat, Iraola dijangka membawa corak permainan lebih agresif dan berintensiti tinggi yang sinonim dengan era bekas pengurus kesayangan penyokong, Jurgen Klopp.
Iraola mendapat pujian meluas selepas mengemudi Bournemouth menamatkan musim di tangga keenam EPL, sekali gus melayakkan kelab itu ke saingan Eropah buat kali pertama menerusi Liga Europa.
Beliau menyertai kelab pantai selatan England itu dari Rayo Vallecano pada 2023 selepas sebelum itu mengendalikan Mirandes dan AEK Larnaca di Cyprus.
Bournemouth mempamerkan peningkatan setiap musim di bawah kendalian Iraola apabila menamatkan saingan di tangga ke-12, kesembilan dan keenam.
Bekas pemain pertahanan itu turut dipuji atas kebijaksanaannya dari segi taktikal serta kejayaannya mengembangkan bakat pemain muda termasuk Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.
Berakhir di tangga kelima Sebelum meninggalkan Liverpool pada hujung musim, bintang Mesir, Mohamed Salah baru-baru ini menggesa pasukan kembali mengamalkan "bola sepak heavy metal" yang membawa banyak kejayaan ketika era Klopp, sekali gus menambah tekanan ke atas Slot.
Iraola sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk pasukannya bermain secara menyerang dan menekan tinggi, berbeza dengan pendekatan lebih terkawal yang diamalkan Slot.
Perkara itu pastinya menggembirakan penyokong Liverpool.
"Saya hanya mahu katakan kepada penyokong saya mahu menjadi salah seorang daripada anda.
Saya mahu memperoleh hak untuk menjadi sebahagian daripada anda supaya kita dapat menikmati segala-galanya bersama," kata Iraola kepada liverpoolfc.com.
Dilahirkan di wilayah Basque, Sepanyol, Iraola melakukan lebih 500 penampilan bersama Athletic Bilbao sebelum beraksi dalam Major League Soccer (MLS) bersama New York City, yang mana beliau pernah bermain sepasukan dengan Frank Lampard dan Andrea Pirlo.
Beliau tiba di Merseyside ketika Liverpool berada di persimpangan penting selepas kegagalan Slot mengekalkan kedudukan kelab itu di puncak bola sepak England.
Slot berdepan tugas sukar menggantikan Klopp yang meninggalkan Liverpool pada 2024 selepas menghadiahkan gelaran EPL dan Liga Juara-Juara sepanjang sembilan tahun yang gemilang di Anfield.
Bekas pengendali Feyenoord itu memulakan tugas dengan cemerlang apabila mengemudi Liverpool menjulang gelaran liga Inggeris ke-20 yang menyamai rekod pada musim pertamanya, dipacu 29 gol Salah.
Namun Slot gagal menyekat kemerosotan Liverpool pada musim 2025-26 apabila The Reds merudum sejak hujung September dan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.
Kematian penyerang Liverpool, Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya Julai lalu memberi kesan yang amat besar kepada skuad, manakala perbelanjaan £450 juta (RM2.4 bilion) untuk pemain baharu gagal memberikan pulangan yang diharapkan.
Hubungan Slot dengan Salah turut merosot, manakala penyokong Liverpool mula beralih arah susulan persembahan lesu pasukan dan keputusan yang mengecewakan.
Liverpool mengakhiri musim di tangga kelima, 25 mata di belakang juara Arsenal, namun kedudukan itu sekurang-kurangnya memastikan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/06/1567318/iraola-dilantik-pengurus-baharu-liverpool
|