|
|
Lembaga misteri dikaitkan dengan ketukan di rumah penduduk
Nurul Hidayah Bahaudin - Jun 2, 2026 @ 5:52pm
BUNYI ketukan kuat yang dialami beberapa penduduk di sekitar Puncak Alam dikaitkan dengan dakwaan kewujudan lembaga misteri sejak beberapa bulan lalu. - Foto tular
KUALA SELANGOR: Bunyi ketukan kuat yang dialami beberapa penduduk di sekitar Puncak Alam, di sini, dikaitkan dengan dakwaan kewujudan lembaga misteri sejak beberapa bulan lalu.
Kisah itu turut tular di media sosial apabila beberapa penduduk yang berkongsi kisah mendakwa terserempak dengan lembaga dipercayai pocong di sekitar Puncak Alam pada pertengahan bulan lalu.
Menceritakan pengalamannya, Siti Alea Haszlan, 31, berkata kisah lembaga itu sudah kecoh dalam kalangan penduduk di kawasan apartmen didiaminya.
"Saya dan suami (Mohemed Syazwan Shamsir, 35) mula pindah ke rumah ini sejak April tahun lalu. Ketika itu, kami ada dengar mengenai dakwaan pocong di kawasan ini.
"Ada jiran yang maklumkan pernah terserempak lembaga itu di kawasan parkir dua blok termasuk blok rumah kami. Namun, kami tidak begitu ambil pusing mengenai perkara berkenaan ketika itu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, suaminya pernah terdengar bunyi ketukan kuat pada koridor luar rumahnya yang menghadap kawasan parkir pada April lalu.
"Ketika kejadian jam 1 pagi, suami maklum dia berada di dapur dan terdengar bunyi ketukan kuat di pintu gelangsar koridor. Suami kemudian lihat jika ada benda yang jatuh tetapi tiada apa-apa.
"Selain itu, suami ada beritahu seakan diperhatikan ketika mop lantai pada suatu tengah malam. Dia juga pernah ternampak kelibat bayang-bayang di ruang tamu," katanya.
Kakaknya yang menyewa di blok bersebelahan apartmen sama juga turut berdepan gangguan mistik sejak berpindah pada Julai tahun lalu.
"Kakak pernah terdengar bunyi guli di ruang tamu dan bilik selain melihat kelibat lembaga seperti wanita semasa bersendirian di rumah pada tengah malam.
"Malah, kakak kerap mengalami keadaan seakan ditindih setiap kali melihat kelibat atau mimpi buruk mengenai lembaga itu," katanya yang juga suri rumah.
Bunyi guli, kanak-kanak berlari dalam rumah atas yang kosong
Peristiwa 'pelik' yang berlaku itu bukan sahaja dialami mereka tetapi juga jiran lain yang mendakwa berdepan beberapa situasi mistik.
"Ini termasuk dengar bunyi guli, bunyi perabot dialihkan, bunyi kanak-kanak berlari di koridor selain bunyi ketukan kuat.
"Malah, gangguan itu menyebabkan ada jiran menyalahkan jiran lain kerana bunyi didengari mereka sedangkan setiap tingkat (di blok) ada rumah yang belum dihuni lagi," katanya.
Walaupun berdepan situasi berkenaan, Siti Alea berkata, mereka mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah terbabit memandangkan lokasinya yang dekat dengan tempat kerja.
"Suami beli rumah ini kerana ia dekat dengan tempat kerjanya sebagai pembekal ubat. Kakak juga menyewa di sini kerana lokasi lebih fleksibel dia dan suami ke tempat kerja masing-masing.
"Walaupun ada rasa takut, kami pilih untuk kekal tinggal di sini. Selagi 'ia' tidak mengganggu anak-anak, kami boleh hadap situasi ini.
"Saya percaya kewujudan makhluk halus. Tetapi saya tetap positifkan diri supaya tidak timbul rasa takut," katanya.
|
|