Hakim Danish cipta sejarah di Mugello
Helmi Talkah - Mei 31, 2026 @ 5:54pm

Pelumba muda negara, Hakim Danish cipta sejarah tersendiri apabila raih tempat ketiga di Litar Mugello, hari ini. Foto AFP
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah tersendiri apabila meraih podium sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga di Litar Mugello, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas Hakim Danish menerima tonik tambahan sebelum perlumbaan apabila dinaikkan ke petak pertama susulan pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang sepatutnya memulakan perlumbaan di petak utama tidak cergas untuk beraksi.
Bagaimanapun, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, ketinggalan 0.456 saat (s) di belakang pemenang, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang mencatat masa 33 minit 07.80s.

Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Itali di tempat ketiga. Foto: ZK Racing
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Uriarte, Alvaro Carpe.
Lebih manis, pencapaian itu hadir dalam musim pertama Hakim Danish bersaing secara sepenuh masa di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.
"Saya sangat gembira dapat meraih podium tahun ini dalam musim pertama saya di Moto3.
Ia adalah satu impian dan saya sudah lama menantikannya.
Selepas mencuba berkali-kali, akhirnya saya berjaya mencapainya.
"Perlumbaan ini sangat sengit, tetapi saya berjaya mengharunginya dengan baik," katanya selepas tamat perlumbaan.

Podium yang diraih pelumba berusia 18 tahun itu turut menamatkan penantian Malaysia untuk kembali berada di pentas podium Moto3 selepas kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi yang menjuarai GP Argentina pada 2016.
Keputusan di Mugello itu menyaksikan Hakim Danish membawa pulang 16 mata untuk mengekalkan kedudukan ke-11 dalam carta keseluruhan pelumba dengan kutipan 43 mata.
Dia kini hanya dipisahkan empat mata daripada pelumba di tangga ke-10, David Munoz dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP.
Sementara itu, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Valresa Aspar Team terus mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 145 mata.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/05/1565580/hakim-danish-cipta-sejarah-di-mugello
|