CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 240|Reply: 0

[Sukan & Senibela Diri] Malaysia bangkit belasah Singapura 13-0

[Copy link]
Post time 31-5-2026 03:59 PM | Show all posts |Read mode
Malaysia bangkit belasah Singapura 13-0
Oleh Helmi Talkah - Mei 31, 2026 @ 3:15pm







Pemain negara meraikan kemenangan selepas membenam Singapura 13-0 pada Piala Asia B-18. - Foto MHC



KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita bawah 18 tahun (B-18) negara bangkit daripada kekecewaan aksi pembukaan apabila membelasah Singapura 13-0 dalam saingan Piala Asia B-18 di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Selepas tewas tipis 1-2 kepada India semalam, anak buah Siti Amarina Ruhani mempamerkan aksi lebih bertenaga dan menguasai sepenuhnya perlawanan untuk meraih kemenangan pertama kejohanan.

Malaysia membuka jaringan seawal minit kelima menerusi jaringan padang Nur Qashrina Azli sebelum Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi menggandakan kelebihan menerusi satu lagi jaringan padang pada minit ke-15.

Nurfitrah Nadhia Shamsudin kemudian meledak gol ketiga hasil jaringan padang pada minit ke-24 sebelum Nur Hidayah Misra Othman menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian bagi meletakkan Malaysia selesa di hadapan.

Khaleesya Zahra Khairul Fazly menambah gol kelima menerusi jaringan padang pada minit ke-29 sebelum Nur Zariefah Dania Mazlan menjadikan kedudukan 6-0 hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia terus menggandakan tekanan apabila Nurfitrah menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi jaringan padang pada minit ke-42, sebelum Aqhinatul Safiyyah Hashmi menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit sama.

Nur Qaisara kemudian mencatat gol kedua peribadinya menerusi jaringan padang pada minit ke-44 sebelum Nurfitrah melengkapkan hatrik hasil jaringan padang pada minit ke-49.

Pesta gol negara diteruskan apabila Nur Qaisara turut melengkapkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52, diikuti Nur Zariefah yang menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi jaringan padang dua minit kemudian.

Nur Qashrina kemudian melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan gol kedua peribadinya menerusi jaringan padang pada minit ke-56.

Kemenangan itu turut menyaksikan Nurfitrah dan Nur Qaisara masing-masing mencipta hatrik, manakala Nur Qashrina serta Nur Zariefah menjaringkan dua gol seorang.

Aksi cemerlang Nurfitrah yang meledak tiga gol menerusi jaringan padang membolehkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Mengulas kemenangan besar itu, Siti Amarina, bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki meskipun berpuas hati dengan kemenangan besar yang diraih anak buahnya.

"Matlamat pasukan untuk mendapatkan tiga mata penuh hari ini berjaya dicapai dengan baik.

"Tetapi pada pandangan saya, prestasi pemain pada suku pertama dan kedua agak kurang memuaskan kerana kami terlalu mengikut rentak corak permainan Singapura.

"Bagaimanapun, pada suku ketiga dan keempat pemain berjaya bangkit dengan lebih baik terutama dalam mencari ruang dan melakukan penetrasi ke dalam kawasan D lawan untuk mendapatkan gol.

"Kami juga memperoleh 21 pukulan sudut penalti tetapi hanya berjaya menukarkannya kepada empat gol sahaja. Itu menunjukkan prestasi yang kurang baik dan perlu diperbaiki sebelum bertemu Korea Selatan nanti," katanya.

Malaysia dijadual menentang Korea Selatan dalam aksi seterusnya pada Selasa ini, dengan kemenangan amat diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan dalam saingan kumpulan.


https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/05/1565503/malaysia-bangkit-belasah-singapura-13-0















Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Sukan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-7-2026 03:44 PM GMT+8 , Processed in 0.119071 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list