Tang Jie-Ee Wei lolos ke suku akhir
Oleh Alief Iqbal Saidin - Mei 28, 2026 @ 4:17pm

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir Terbuka Singapura hari ini.
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu mempamerkan aksi konsisten untuk mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-14 dalam tempoh 41 minit.
Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun dipaksa bekerja keras pada set pertama apabila pasangan Korea Selatan itu memberikan tentangan sengit dan beberapa kali mengikat kedudukan.
Namun ketenangan dimiliki pasangan ranking keempat dunia itu pada mata-mata penting membolehkan mereka menutup set pertama dengan kemenangan tipis 22-20.
Momentum positif diteruskan pada set kedua apabila Tang Jie-Ee Wei mula menguasai permainan menerusi kombinasi serangan lebih agresif selain kawalan permainan yang lebih kemas di jaring.
Pasangan negara itu langsung tidak memberi ruang kepada lawan untuk bangkit sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-14.
Mereka bakal berdepan pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto yang menghuni ranking ke-28 dunia bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/05/1564475/tang-jie-ee-wei-lolos-ke-suku-akhir
|