Villa rosakkan perpisahan Guardiola
Oleh AFP - Mei 25, 2026 @ 1:28am

Penyokong mempamerkan sepanduk gergasi tertera wajah Guardiola sebagai penghormatan buat pengurus City itu yang akan meninggalkan kelab hujung musim ini. Foto AFP
MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada penyokong kelab itu selepas City tewas 1-2 kepada Aston Villa pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini.
Kekalahan di Stadium Etihad itu menutup tirai gemilang sedekad Guardiola bersama City selepas jurulatih berusia 55 tahun itu mengumumkan akan meninggalkan kelab berkenaan penghujung musim ini.
Sepanjang 10 tahun bersama City, Guardiola menghadiahkan 20 trofi termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu trofi Liga Juara-Juara.
Sebelum sepak mula, Guardiola menerima penghormatan istimewa daripada penyokong tuan rumah apabila sepanduk gergasi tertera wajahnya bersama kata-kata "Game changer. History maker.City forever" dipamerkan di stadium.
Malah, penyokong turut mengibarkan bendera Catalan manakala salah satu bahagian stadium yang dinamakan sempena Guardiola digunakan buat kali pertama.
Turut diraikan dalam aksi terakhir mereka bersama City ialah Bernardo Silva dan John Stones yang menjadi sebahagian daripada era kegemilangan Guardiola.
Silva dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata sebelum perlawanan bermula ketika mengetuai pasukan selaku kapten.
Bagaimanapun, suasana penuh emosi itu tidak mampu menghalang City daripada mengalami kekalahan di laman sendiri.
City terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Antoine Semenyo hasil sepakan penjuru.
Namun, Villa bangkit pada babak kedua menerusi dua gol Ollie Watkins yang terus menyerlah selepas dipanggil menyertai skuad England kendalian Thomas Tuchel ke Piala Dunia.
Watkins terlebih dahulu mengambil kesempatan atas kesilapan Stones sebelum meledak gol kedua untuk jaringan ke-21 musim ini.
Permainan sekali lagi dihentikan bagi memberi penghormatan kepada Stones yang digantikan, namun City gagal bangkit selepas jaringan Phil Foden dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana ofsaid.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/05/1563086/villa-rosakkan-perpisahan-guardiola
|