Haaland rangkul Kasut Emas EPL buat kali ketiga
Oleh AFP - Mei 25, 2026 @ 1:55am

Haaland merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam tempoh empat musim. Foto REUTERS
MANCHESTER: Penyerang Manchester City, Erling Haaland meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.
Haaland mengakhiri musim dengan 27 gol dalam 35 penampilan liga meskipun tidak diturunkan pada aksi terakhir City yang tewas 1-2 kepada Aston Villa dalam perlawanan perpisahan pengurus, Pep Guardiola di Stadium Etihad.
Pemain berusia 25 tahun itu kini menyamai pencapaian legenda EPL, Alan Shearer dan Harry Kane yang turut memenangi Kasut Emas sebanyak tiga kali.
Haaland kini hanya dibezakan satu gelaran dengan Mohamed Salah dan Thierry Henry yang memegang rekod empat kali pemenang anugerah berkenaan dalam era EPL.
Penyerang Brentford, Igor Thiago menamatkan musim selaku penjaring kedua terbanyak dengan 22 gol sekali gus melayakkannya dipanggil menyertai skuad Brazil ke Piala Dunia.
Haaland memulakan musim dengan aksi luar biasa apabila meledak 19 gol hanya dalam 17 perlawanan pertama liga.
Namun, ketumpulan sementara pemain Norway itu pada pertengahan musim dilihat antara faktor City gagal mempertahankan kejuaraan liga selepas hanya menang dua daripada tujuh perlawanan ketika dia sekadar menjaringkan satu gol.
Haaland kembali menemui sentuhan terbaik pada penghujung musim dengan menjaringkan gol kemenangan ke atas Liverpool dan Arsenal.
Bagaimanapun, keputusan seri menentang Everton dan Bournemouth membuka ruang kepada Arsenal merangkul gelaran EPL buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/05/1563092/haaland-rangkul-kasut-emas-epl-buat-kali-ketiga
|