Wan Arif-Roy King mohon maaf gagal hadiah final Malaysia-Malaysia
Oleh Helmi Talkah - Mei 23, 2026 @ 9:21pm

Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King kelihatan sedih selepas tumpas di tangan beregu Denmark pada separuh akhir Masters Malaysia 2026 di Arena Unifi, Bukit Jalil. – Foto NSTP/Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King memohon maaf kepada penyokong tanah air selepas gagal merealisasikan impian final sesama wakil Malaysia pada Masters Malaysia di Arena Unifi, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan negara itu terpaksa melupakan hasrat ke final selepas tewas 19-21, 17-21 kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 49 minit.
Arif berkata, mereka sudah memberikan segala-galanya di gelanggang namun lawan tampil lebih baik selain faktor keletihan mula dirasai ketika perlawanan berlangsung.
"Pertama sekali saya nak minta maaf kepada semua penyokong sebab kami tak dapat menang perlawanan ini.
"Kami memang nak menang, tapi lawan bermain lebih baik.
Lepas perlawanan kami ada bincang, mungkin dari segi tenaga kami sudah menurun.
"Harap minggu depan kami dapat cari balik tenaga di Terbuka Singapura," katanya.
Sementara itu, Roy King mengakui mereka sedikit gugup terutama pada awal permainan sebelum berjaya mendapatkan semula rentak.
"Saya rasa set pertama itu kami agak tegang terutama pada 11 mata pertama.
"Selepas itu keadaan semakin baik, cuma pada set kedua banyak serangan kami tidak menjadi dan tenaga pun makin berkurang," katanya.
Pada masa sama, Arif mengakui mereka tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi sebelum kejohanan bermula memandangkan dia hanya mendapat lampu hijau untuk beraksi pada saat akhir selepas pulih daripada kecederaan.
"Sebenarnya kami tak fikir pun nak sampai separuh akhir sebab saya pun dapat main kejohanan ini pada saat akhir selepas ujian minggu lalu lulus.
"Tapi bila tengok undian, kami rasa ada peluang untuk pergi jauh.
Pada masa sama kami juga kena berhati-hati supaya kecederaan tak jadi lebih teruk.
"Alhamdulillah akhirnya kami dapat masuk separuh akhir," katanya.
Esok, cabaran negara dalam acara beregu lelaki kini digalas beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang akan membuat perhitungan dengan Lundgaard-Vestergaard pada aksi final.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/05/1562683/wan-arif-roy-king-mohon-maaf-gagal-hadiah-final-malaysia-malaysia
|