Impian final Malaysia-Malaysia lebur
Oleh Helmi Talkah - Mei 23, 2026 @ 8:40pm

Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir pada separuh akhir Masters Malaysia 2026 di Arena Unifi, Bukit Jalil. – Foto NSTP/Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Impian untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri membabitkan dua beregu lelaki negara pada final Masters Malaysia 2026 tidak kesampaian selepas Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tersingkir di separuh akhir, hari ini.
Pasangan ranking ke-16 dunia itu terpaksa akur tewas kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 19-21, 17-21 dalam tempoh 49 minit di Arena Unifi, Bukit Jalil.
Wan Arif-Roy King memberikan tentangan sengit pada set pertama sebelum tunduk 19-21.
Mereka kemudian cuba bangkit pada set kedua apabila mendahului 15-13, namun pasangan Denmark kembali menyamakan kedudukan sebelum mengambil alih momentum permainan untuk menoktahkan kemenangan 21-17.
Kekalahan itu turut menyaksikan rekod sempurna Wan Arif-Roy King ke atas pasangan Denmark berkenaan berakhir selepas sebelum ini memenangi semua empat pertemuan terdahulu.
Keputusan itu juga bermakna Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul wakil tunggal negara di final dan bakal membuat perhitungan dengan Lundgaard-Vestergaard bagi perebutan gelaran juara esok.
Terdahulu, Sze Fei-Izzuddin mara ke final selepas menyingkirkan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-18, 21-12 pada satu lagi aksi separuh akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/05/1562673/impian-final-malaysia-malaysia-lebur
|