Malaysia mara separuh akhir jumpa Indonesia
Oleh Sukhairi Thani - Mei 22, 2026 @ 11:24pm

Aksi sengit antara Malaysia (jersi putih) dan Jepun pada suku akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam ini. Malaysia menang 2-0 sekali gus layak ke separuh akhir. – Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia semakin hampir untuk kembali beraksi di final apabila mudah menundukkan Jepun pada suku akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 di Stadium Titiwangsa, malam ini.
Kemenangan meyakinkan itu memastikan skuad negara mara ke separuh akhir untuk bertemu Indonesia, esok yang menewaskan Filipina 2-1, sebentar tadi.
Satu lagi aksi separuh akhir esok membabitkan Thailand dan Korea Selatan.
Sekiranya berjaya menewaskan Indonesia, Malaysia akan mengulangi pencapaian layak ke final pada edisi 2024 serta Piala Asia tahun lalu yang turut berlangsung di venue sama.
Pada aksi suku akhir sebentar tadi, regu pertama negara dibarisi Mohammad Syahir Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam berjaya memberikan tekanan awal ke atas Jepun yang mempertaruhkan Hirokazu Kobayashi, Shuma Takata dan Ryota Haruhara.
Malaysia bermula garang apabila konsisten mendahului permainan sebelum Syahir terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika skuad negara mendahului 13-9.
Kemasukan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican bagaimanapun nyata tidak menjejaskan rentak negara apabila tekong itu tampil cemerlang menerusi beberapa servis tajam untuk membantu Malaysia menutup set pertama dengan kemenangan 15-9.
Pada set kedua, Malaysia terus menguasai permainan apabila mendahului 4-2 sebelum Jepun menukar strategi dengan membawa masuk Masaki Sasamoto menggantikan Kobayashi.
Namun percaturan itu gagal menyekat kebangkitan Malaysia yang terus selesa di depan sehingga 9-3 sebelum Jepun cuba merapatkan kedudukan kepada 9-5.
Servis berbisa Zarif sekali lagi menjadi pemisah apabila membantu Malaysia menamatkan set kedua 15-6 sekali gus menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.
Zarif ketika ditemui selepas perlawanan berkata, dia sememangnya sudah meletakkan fokus yang tinggi sekiranya diturunkan oleh jurulatih.
"Saya tetapkan dalam fikiran, memang kena sentiasa bersedia untuk setiap regu sebab bermain di posisi 'joker', anda tidak boleh lalai.
"Saya sudah berlatih, saya sudah berusaha dan hanya ikut arahan jurulatih.
Kalau diberi kepercayaan, insya-Allah saya akan turun dan beri 100 peratus," katanya.
Regu kedua negara yang dibarisi Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Zulkifli Abd Razak dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali turut tidak mengecewakan apabila bangkit selepas aksi goyah di awal permainan untuk mengatasi Jepun 15-6 pada set pertama.
Gandingan Jepun terdiri daripada Shun Yuasa, Yota Ichikawa dan Seiya Takano kemudian memberi tentangan lebih sengit apabila mendahului 5-3 pada set kedua.
Bagaimanapun, skuad negara kembali memperkemaskan permainan untuk mengikat kedudukan 6-6 sebelum terus meninggalkan lawan sehingga 11-7.
Malaysia akhirnya menutup aksi dengan kemenangan 15-8 untuk mengesahkan slot ke separuh akhir dalam usaha memburu kejuaraan dunia di laman sendiri.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/05/1562391/malaysia-mara-separuh-akhir-jumpa-indonesia
|