Alor Setar: Seorang remaja perempuan terselamat daripada cubaan culik oleh seorang lelaki bermotosikal di kawasan lorong di Pekan Simpang Kuala di sini, malam tadi selepas bertindak menggigit tangan suspek.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku jam 8.26 malam ketika remaja perempuan berusia 14 tahun itu berjalan kaki seorang diri di lorong itu sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal.
"Lelaki itu berhenti di hadapan mangsa dan terus memeluk sambil menutup muka dengan menggunakan tangan.
"Mangsa berjaya melarikan diri selepas menggigit tangan lelaki berkenaan dan berlari ke pusat tuisyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, polis sudah mengambil rakaman percakapan mangsa untuk menjalankan siasatan awal.
Katanya, pegawai penyiasat juga sudah menghubungi Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk mendapatkan bantuan bagi mendapatkan sampel di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 511 KK serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK)," katanya yang turut meminta masyarakat menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan polis.