Agrobank tawar diskaun 50 peratus kadar keuntungan pinjaman modal pesawah
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Mei 11, 2026 @ 10:42am

Mohamad Sabu menyampaikan geran KPKM kepada penerima pada Majlis Perasmian Road to MAHA 2026 Zon Utara di Aman Central Mall. - Foto NSTP/ Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Kerajaan menerusi Agrobank menyediakan pakej pinjaman modal khas kepada pesawah padi dengan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan pinjaman sebagai langkah segera membantu mereka menghadapi tekanan kos input pertanian bagi musim tanaman akan datang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pesawah tidak berdepan kekangan modal untuk memulakan kerja penanaman.
Katanya, langkah itu juga penting untuk memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan seperti biasa dan tidak menjejaskan pengeluaran padi negara.
"Kerajaan amat memahami kesulitan modal yang sedang dihadapi pesawah sekarang ini.
Maka, sukacita saya umumkan pihak Agrobank menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah dan Agrobank sudah bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini.
"Ini bermakna, kadar faedah pinjaman yang sebelum ini antara tiga hingga empat peratus, kini hanya perlu dibayar sekitar dua peratus sahaja untuk tempoh tiga bulan, khusus bagi membantu pesawah membuat persediaan musim penanaman akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Road to MAHA 2026 Peringkat Zon Utara, di sini.
Mohamad berkata, skim pinjaman itu menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 namun kebanyakan pesawah lazimnya hanya memerlukan antara RM7,000 hingga RM10,000 bergantung kepada keluasan sawah sekitar satu hingga tiga hektar.
Katanya, bayaran balik pinjaman pula hanya dibuat selepas hasil padi dituai bagi memberi ruang kepada pesawah mengurus kewangan dengan lebih baik tanpa tekanan pembayaran awal.
"Bantuan ini diharap dapat menggalakkan pesawah terus aktif menanam padi meskipun berdepan peningkatan kos baja, racun dan input pertanian lain yang semakin membebankan," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata acara Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 akan diteruskan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 28 Ogos hingga 6 September ini walaupun negara berdepan cabaran krisis bekalan global.
Katanya, penganjuran MAHA tetap menjadi keutamaan kerajaan kerana ia antara platform penting memperkukuh sektor agromakanan negara serta mempromosikan pemodenan pertanian sebagai teras keterjaminan makanan.
"Walaupun dunia sedang berhadapan dengan kenaikan harga minyak, diesel, baja serta ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim, kerajaan memutuskan MAHA tetap diteruskan dengan pendekatan berjimat cermat.
"Tumpuan utama tahun ini ialah soal pemodenan pertanian.
Kita mahu rakyat melihat bagaimana teknologi dan inovasi mampu membantu meningkatkan produktiviti sektor ini," katanya.
Beliau berkata, pelancaran Road to MAHA di Alor Setar menjadi permulaan siri jelajah promosi MAHA ke seluruh negara bagi mendekatkan acara itu kepada rakyat khususnya komuniti peladang, usahawan agro dan golongan belia.
Katanya, edisi MAHA tahun lalu merekodkan lebih lima juta kehadiran dan kerajaan berharap jumlah sama dapat dicapai tahun ini, selain menjangkakan nilai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan mencecah RM8 bilion sepanjang ekspo berlangsung.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1549088/agrobank-tawar-diskaun-50-peratus-kadar-keuntungan-pinjaman-modal
|