Wanita warga asing maut terjun dari balkoni Aras 3 KLIA Terminal 2 Tangkap layar video tular FB Info Siasat Terkini
PUTRAJAYA: Seorang wanita warga asing maut selepas terjun dari kawasan luar balkoni Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi, berkata kejadian jam 2.20 petang apabila wanita berusia 27 tahun itu dilihat sedang duduk di kawasan luar balkoni Aras 3 dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif.
"Petugas dan pengawai keselamatan cuba menenangkan wanita terbabit, namun tidak berjaya sehingga seorang anggota keselamatan KLIA cuba mendekati untuk menyelamatkannya.
"Namun wanita terbabit bertindak meronta dan terjun ke kawasan Loading Bay KLIA2," katanya menerusi kenyataan malam ini.
Ravi berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian memberi rawatan kecemasan dan wanita berkenaan dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.
Katanya, kira-kira jam 5 petang, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan wanita terbabit sudah meninggal dunia.
"Semakan mendapati wanita terbabit adalah warganegara China berusia 27 tahun dan dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada 2 Mei.
"Punca kejadian masih lagi didalam siasatan polis. Siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mangejut (SDR)," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat memaparkan seorang wanita yang berada di tempat tinggi di kawasan KLIA Terminal 2 jatuh dipercayai cubaan membunuh diri.
Dalam kes berasingan, tular rakaman video seorang lelaki ditemui tertiarap di kawasan rumput dipercayai jatuh di lapangan terbang sama malam ini.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan status mangsa berkenaan. Ravi yang mengesahkan kejadian itu berkata kes berkenaan masih dalam tindakan pihaknya.
|