|
|
'Percaya khasiat minyak pelaris, produk berunsur mistik dijual 'live' di media sosial boleh jejas akidah' - JAKIM
Oleh Essa Abu Yamin - April 29, 2026 @ 4:12pm
KUALA LUMPUR: Kegiatan menjual 'minyak pelaris' atau 'minyak penunduk' secara siaran langsung di platform media sosial yang semakin berleluasa, mencetuskan kebimbangan mengenai unsur khurafat dan penipuan yang boleh memperdaya pengguna.
Beberapa akaun di media sosial secara terbuka mempromosikan produk yang kononnya mampu menundukkan pasangan, memagar diri daripada gangguan makhluk halus dan menjanjikan pelaris segera bagi perniagaan, dilihat mendapat sambutan tontonan ramai.
Sesetengah penjual mendakwa produk yang disertakan amalan atau bacaan khas itu memberi kesan pantas yang dimahukan, tetapi dikenakan harga tertentu hingga ratusan ringgit.
Sesi siaran langsung juga menampilkan testimoni individu kononnya mengalami perubahan ketara selepas menggunakan produk ditawarkan termasuk kononnya perniagaan semakin maju atau pasangan kembali bahagia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata fenomena promosi produk berunsur mistik secara siaran langsung di media sosial itu perkembangan yang membimbangkan.
Beliau berkata, platform digital kini menjadi medium penyebaran pantas dan sukar dikawal, yang mana dakwaan berkaitan aura, tenaga dalaman, numerologi, pelaris atau pengaruh ghaib dipersembahkan secara santai sehingga masyarakat tidak lagi melihatnya sebagai isu akidah.
"Lebih membimbangkan apabila unsur ini digabungkan sekali dengan lafaz agama, testimoni emosi dan pendekatan pemasaran agresif yang boleh mempengaruhi golongan rentan.
"Trend ini menunjukkan satu bentuk peralihan daripada perbomohan tradisional kepada mistik digital yang dimonetisasi," katanya.
Sirajuddin berkata, ia bukan saja membabitkan produk fizikal tetapi juga pembentukan naratif kepercayaan yang boleh mengelirukan masyarakat awam mengenai konsep tawakal, qada dan qadar serta hakikat rezeki dan hubungan sesama manusia.
"Jika tidak ditangani secara bersepadu, fenomena ini berpotensi mencairkan kefahaman tauhid dan membuka ruang kepada normalisasi amalan khurafat dalam ekosistem digital.
"JAKIM sentiasa memantau isu sensitif akidah dan jika ada kandungan yang jelas bercanggah prinsip syarak, perkara itu boleh dibawa ke peringkat Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam (MKI) untuk mendapatkan pandangan hukum sebagai rujukan masyarakat dan negeri," katanya.
Sirajuddin berkata, JAKIM bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa agama negeri dalam aspek pemantauan dan tindakan sewajarnya.
"Namun, pendekatan utama adalah pendidikan dan pencegahan melalui penerangan, khutbah, penerbitan serta program kesedaran supaya masyarakat memahami batas antara ikhtiar dibenarkan dan amalan yang boleh membawa kekeliruan akidah.
"JAKIM sudah mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan menurut Islam bagi memberi penerangan kepada umat Islam di Malaysia terhindar daripada amalan bertentangan aqidah, syariat dan akhlak.
"Garis Panduan Khurafat dan Azimat turut disediakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan khurafat serta penggunaan azimat," katanya.
Beliau berkata, garis panduan itu diharap menjadikan umat Islam lebih berwaspada dengan kepercayaan khurafat demi menjaga akidah.
"Pendekatan bersepadu membabitkan advokasi, literasi media, pendidikan, nasihat dan kerjasama antara agensi adalah kaedah terbaik untuk memastikan kemurnian akidah umat Islam terus terpelihara dalam era digital yang berkembang pesat ini," katanya.
Sementara itu, mengulas isu sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata penggunaan minyak pelaris sebagai kaedah memajukan perniagaan adalah amalan tidak berasaskan ilmu dan khurafat.
Beliau berkata, peniaga seharusnya menumpukan usaha kepada peningkatan kualiti perniagaan melalui ilmu pemasaran, promosi, pembungkusan dan kualiti produk sejajar prinsip syariah.
"Perkara bersifat mistik tidak berasaskan ilmu dan kajian. Jadi, peniaga dinasihatkan memperkasakan ilmu perniagaan dan pemasaran serta sentiasa berdoa kepada Allah tanpa merujuk kepada bomoh atau sebagainya.
"Sekadar memohon doa daripada individu lain tidak menjadi masalah, tetapi penggunaan minyak tertentu sebagai pelaris bercanggah dengan akhlak, ilmu dan lebih kepada khurafat.
"Semua peniaga dinasihatkan terus berdisiplin dengan syariah dan tidak menggunakan perkara bercanggah dengan nilai ilmu serta akhlak," katanya.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|