Edited by FOTHER-MUCKER at 28-4-2026 07:21 PM
ASNB lancar Pandu Impianmu 2.0, tawar hadiah RM875,000
Nur Adriana Azwa Rohan
27 April 2026
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee bersama barisan pemenang kempen terdahulu, kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! di pelancaran Kempen Pandu Impianmu 2.0 di Stadium Merdeka, hari ini.
KUALA LUMPUR — Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan Kempen Pandu Impianmu 2.0 dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM875,000 termasuk sebuah BMW 320i M Sport sebagai hadiah utama.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan pelaburan secara konsisten sebagai langkah membina masa depan kewangan lebih kukuh.
Menurutnya, kempen berkenaan merupakan kesinambungan kepada kejayaan kempen terdahulu yang menarik lebih 100,000 penyertaan.
“Pelaburan adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang dan jumlah pelaburan, dan kami mahu mendidik rakyat membina tabungan serta kehidupan lebih sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! dan Labur & Level-Up serta pelancaran Pandu Impianmu 2.0 di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.
Kempen yang bermula 1 April lalu itu berlangsung dalam dua fasa sehingga 31 Mac 2027, dengan pelbagai hadiah ditawarkan termasuk Proton e.MAS 7, enam Perodua Bezza, pakej percutian dan kredit Touch ‘n Go.
Pelabur hanya perlu melabur minimum RM500 untuk layak menerima satu tiket cabutan, dengan peluang berganda bagi transaksi melalui platform digital seperti myASNB dan RIA.
Dalam majlis sama, ASNB turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen terdahulu, termasuk pemenang utama Pandu Impianmu, Gen Labur!, Fatin Hazirah Mohd Mustapa yang memenangi sebuah BMW i4 Gran Coupé.
Fatin Hazirah Mohd Mustapa (dua dari kiri) yang merupakan pemenang kempen utama terdahulu, kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee di pelancaran Kempen Pandu Impianmu 2.0 di Stadium Merdeka, hari ini.
Fatin Hazirah berkata, amalan menyimpan dan melabur perlu dimulakan sejak awal bagi menjamin masa depan, selain menasihatkan orang ramai supaya memilih pelaburan sah bagi mengelakkan penipuan.
“Kalau ada lebihan, simpan dan labur. Dalam keadaan ekonomi sekarang, lebih baik berjimat dan fikir untuk jangka panjang,” katanya. Sementara itu, kempen Labur & Level-Up yang berlangsung dari Jun 2025 hingga Mac 2026 mencatatkan seramai 2,835 pemenang.
Fadzihan berkata sambutan menggalakkan terhadap kempen tersebut membuktikan rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk melabur, namun memerlukan dorongan untuk melakukannya secara konsisten.
Beliau berkata, usaha berterusan melalui inisiatif #KitaGenerasiLabur akan diteruskan bagi meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat. -MalaysiaGazette
|